Sunday, May 2, 2010

[K.A.M.I] Maryam Ibtihal - Bab 2


- Cerita Tentang Hati -


“Din, kau nak kerja tak?” Telinga Maryam menangkap perbualan dua orang lelaki di gerai burger berhampiran pondok bas tempat dia setia menanti Balqis yang sudah berjanji untuk menjemputnya. Yang seorang adalah abang penjual burger manakala yang seorang lagi budak lelaki dalam limgkungan umur 18 tahun. Jika tidak silap, dia dengar abang penjual burger itu memanggil budak itu dengan nama ‘Din’.

‘Din apa? Shamsuddin? Hairuddin? Bidin?’ Bisik Maryam. Ish, Maryam mula melalut. Matanya terus memerhatikan budak lelaki tersebut. Dengan sepasang baju T hitam dan seluar jeans lusuh, gaya rambut serta penampilan luar budak lelaki tersebut, dia kelihatan tak ubah seperti seorang budak nakal. Mata Maryam melirik ke arah rambut budak lelaki yang bernama Din itu. ‘Mak aih, rambut dah macam adik-beradik durian je! Entah berapa kilo krim rambut budak ni guna!’ Bisik hati kecil Maryam. Dia melepaskan satu keluhan. ‘Ini ke wajah-wajah pemimpin masa depan?’

“Kerja apa bang?” soal Din kembali tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya. Maryam kembali memasang telinga.

“Abang nak minta kau kerja kat kedai abang. Kerja jual burger. Kat gerai abang yang satu lagi.” Kata abang penjual burger itu sambil tangannya ligat membalikkan kepingan daging burger di atas dapur.

Din menggaru-garu kepalanya. “Erm...tak naklah bang. Saya ada banyak kerja lain nak buat.”

“Kau buat kerja apa sekarang?” Terhenti pergerakan abang penjual burger tersebut mendengarkan jawapan dari Din.

“Saya tolong-tolong orang je.” Din senyum kambing.

“Kau tolong apa?” Abang penjual burger itu meneruskan kerja-kerjanya yang tergendala.

“Tolong jaga budak-budak kat rumah anak yatim.” Spontan Din menjawab. Tangannya memain-mainkan anak kunci motorsikal barangkali.

‘Rumah anak yatim? Biar betul? Tak mungkin!’ Maryam terlongo. Hatinya sukar untuk mempercayai apa yang didengarinya.

“Berapa upah kau dapat?” Soal abang penjual burger itu lagi.

“Tak ada pun. Saya suka-suka je nak tolong orang. Seronok apa...” Dengan riak selamba Din menjawab. Maryam nampak dari ekor matanya, pergerakan abang penjual burger itu terhenti sekali lagi mendengarkan jawapan yang keluar dari mulut Din.

“Eh, kau ni biar betul Din? Kat dunia ni mana boleh buat kerja tak ada gaji?” Maryam memasang telinga. Hatinya meronta-ronta ingin mengetahui jawapan yang bakal keluar dari mulut Din walaupun dia tahu tidak elok mencuri dengar perbualan orang lain..

“Eh, ada la. Tu Rasulullah, Allah bagi kerja suruh berdakwah mana ada dapat gaji?” Jawab Din sambil mengangkat kening dua kali. Maryam terkesima dan dia yakin abang penjual burger itu juga pastinya tersentak dengan jawapan Din.

“Itu Rasulullah. Kita ni siapa?” Abang penjual burger itu masih tidak mahu mengalah. Sudip di tangannya diletakkan ke tepi. Tangannya mencekak pinggang.

“Yang para sahabat susah payah back up Rasulullah tu kenapa? Diorang pun manusia macam kita juga. Mana gaji diorang? Diorang buat kerja ni untuk apa sebenarnya ek? Lagipun, banyak pahalanya kalau kita tolong anak yatim ni bang. Rasulullah pun anak yatim gak!” Maryam terkesima. Subhanallah! Sebentar tadi dia begitu mudah menghukum Din dengan hanya melihat penampilan luarannya. Dan sekarang ini, dia yakin Din bukan seperti yang dia sangkakan.

“Okeylah bang. Saya balik dulu ya. Dah janji dengan mak nak tolong dia bersihkan halaman rumah. Assalamualaikum.” Remaja itu pantas berlalu pergi meninggalkan abang penjual burger itu terpinga-pinga. Wajahnya sedikit merah. Malu barangkali dengan Din.

“Mar, tengok apa tu?” Suara Balqis mengembalikan Maryam ke alam sedar.

“Eh, Qis! Tak ada apalah. Baru sampai ke?” Maryam membetulkan duduknya. Buku-buku tebal yang sedari tadi diriba, dialihkan ke sisi sebelah kiri. Wajah redup Balqis dipandangnya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat sahabatnya itu.

“Ni kenapa senyum-senyum ni? Ada apa-apa ke? Takkanlah ada Putera Raja jatuh dari langit nak menjemput Sang Bidadari hati?” Balqis tertawa kecil.

“Salah ke Mar nak hadiahkan senyuman buat sahabat Mar ni? Senyum tu kan sedekah!” Balas Maryam sambil mencuit hidung Balqis.

“Tau la senyum tu sedekah, tapi senyuman Mar tu nampak lain macam je. Oh ya, nampaknya kita terpaksa batalkan rancangan kita nak ke pusat sumber.” Riak di wajah Balqis tiba-tiba berubah.

“Eh, kenapa pula? Qis tak sihat ke?” Soal Maryam bimbang. Tangannya menjamah muka dan dahi Balqis.

“Eh, bukan! Qis sihat. Tapi Nana yang tak sihat. Kaki dia terseliuh.” Balqis pantas menangkap tangan Maryam dari terus-terusan menjamah muka dan dahinya.

“Jadi Qis bercadang nak pergi ziarah dia. Lain kali je kita pergi pusat sumber.”

“Errr... Aa... Ada kaitan dengan Mar ke?” Maryam bimbang serta-merta. Dia mula rasa tidak senang duduk.

“Eh, kenapa pula ni Mar? Apa kaitannya dengan Mar?” Balqis diserang tanda tanya.

“Errr... Hari tu Mar ada tersepak Nana...” Dengan keadaan serba salah Maryam berbicara.

“Mar sepak Nana???” Balqis kaget.

“Eh, Mar bukan sengaja! Nana pun satu! Mar dah kata dah Mar ni geli. Tapi dia buat juga. Dia cucuk-cucuk pinggang Mar. Apa lagi, keluarlah segala macam bunga-silat-tak-khatam. Tak pasal-pasal dia dapat jurus tendangan maut dari Mar. Berguling-guling dia. Lepas tu dia degil juga. Dia buat lagi...” Jelas Maryam panjang lebar.

“Hah, biar betul sampai berguling-guling?” Soal Balqis, kaget. ‘Boleh tahan juga aura keganasan Maryam ni! Haha!’ Bisik hati Balqis.

“Guling-guling tu, dia je yang terlebih efek kesan khas dan kesan bunyi. Kena tendang sikit je kot. Dia yang terlebih rajin pergi guling-guling satu bilik.” Ujar Maryam sambil mencebik.

Balqis tertawa kecil. “Macam-macam perangai Nana ni. Mar jangan risaulah. Kaki dia terseliuh sebab terjatuh dari pokok petang semalam. Bukan disebabkan Mar tersepak kaki dia tu.”

“Hah? Jatuh pokok?” Mata Maryam membulat. Dia kaget.

“Ha’ah dia jatuh pokok gara-gara nak ambik gambar kepompong untuk projek rama-rama dia tu. Itulah sebabnya kaki dia terseliuh. Lepas tu dalam perjalanan nak balik ke bilik dia dengan kaki terseliuh tu, entah macam mana ada orang tertolak dia. Dia terjatuh sekali lagi dan tak tau kat mana silapnya waktu dia ‘landing’ tu, jari telunjuk tangan kiri dia patah.” Jelas Balqis panjang lebar.

“Eeeee... budak ni!!! Suka-suka je tau nak bagi orang patahkan jari dia! Meh sini bagi Mar je yang patahkan jari dia. Barulah ukhwah sejati namanya!” Maryam mengetap bibir, geram. Balqis tertawa kecil mendengar rungutan Maryam. Melihat Balqis tertawa, Maryam kehairanan.

“Kenapa Qis ketawa ni? Apa yang tak kena?” Soal Maryam kehairanan melihat Balqis yang tidak henti-henti ketawa.

“Tak ada apa-apa. Eh, dah la jom gerak sekarang. Lambat pula nanti.” Balqis bangun dan meraih tangan Maryam. Maryam turut bangkit. Beg galas diletakkan ke bahu. Buku-buku tebal di sisinya tadi di bawa ke dalam pelukan. Dia mengekori langkah Balqis menuju ke tempat letak kereta. Kereta Kelisa berwarna silver itu merupakan hadiah dari ayah Balqis kepadanya.

Maryam dan Balqis melangkah masuk ke dalam kereta. Sebaik saja melabuhkan punggung, Balqis tertawa kecil. Maryam kehairanan. “Kenapa Qis?” Dahinya berkerut.

“Tak ada apa. Kelakar la pula bila Qis bayangkan macamana Mar tendang Nana, lepas tu dia buat pula efek kesan khas dan kesan bunyi. Rasanya kalau Qis ada kat situ, Qis yang berguling-guling gelak tengok gelagat korang berdua ni.” Balqis menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Qis!” Suara Maryam naik satu oktaf. Bibirnya memuncung. Geram dengan Balqis yang tidak habis-habis mahu mengusiknya.

“Ops, maaf! Okey, Qis tak gelak lagi. Tapi kenapa la kawan Qis yang comel ni keluarkan muncung itik tu? Dah boleh letak penyangkut baju tau!” Balqis tersenyum simpul.

“Qis...” Maryam memberi amaran.

“Teeetttt!!! Balqis, kamu dalam zon bahaya! Okey, okey... kita gerak sekarang.” Balqis menghidupkan enjin kereta Kelisanya. Setelah memberi isyarat ke kanan, dia memandu keluar keretanya dengan berhati-hati.

“Qis...”

“Yup!” Balqis masih tetap menumpukan perhatiannya kepada pemanduan.

“Tadi kan, Mar ada nampak seorang budak lelaki ni. Kalau tengok dari luarannya memang nampak gaya budak nakal. Tapi...” Bicara Maryam terhenti di situ.

“Tapi kenapa?” Soal Balqis.

“Tapi Mar rasa, Mar dah salah sangka pada dia. Dia taklah seburuk yang Mar fikirkan.”

“Maksud Mar?” Balqis memandang wajah Maryam sekilas.

“Tadi Mar ada terdengar perbualan dia dengan abang penjual burger tu. Abang tu tawarkan kerja kat dia. Tapi dia tolak. Dia kata dia tolong kat rumah anak yatim tanpa gaji. Bila abang tu pertikaikan, dia jawab Rasulullah dan para sahabat buat kerja dakwah pun tak dapat gaji. Mar tak sangka...” Maryam menyepi. Pandangannya dilempar ke luar kereta.

“Mar, sebab tu la kita ni kena bersangka baik dengan orang lain. Husnuzhan. Selemah-lemah ukhwah ialah dengan bersangka baik. Bersangka baik dengan Allah dan juga bersangka baik sesama manusia. Mar, pepatah Inggeris pun ada menyatakan, don’t judge the book by its cover.” Balqis menepuk perlahan lengan Maryam. Maryam tunduk membisu.

“Mar, pernah tak dengar ‘Allah itu mengikut sangkaan hambaNya’. Maksudnya kalau kita bersangka baik kepada Allah, insyaallah kebaikanlah yang akan Allah berikan pada kita. Sebab itulah kita kena sentiasa bersangka baik kepada Allah, diri sendiri dan orang lain. Tapi ia tak bermaksud kita tak perlu berwaspada dan berhati-hati. Hati kita ni tak ubah macam magnet.” Balqis meletakkan tangan kanannya di dada.

“Hati kita ni mampu nak tarik sesuatu yang ada kat luar ni ke dalam diri kita. Apa yang hati kita rasakan, itulah yang akan kita terima sebagai pantulan. Sebab itulah kita kena sentiasa bersangka baik. Supaya setiap kebaikan tu dapat ditarik ke dalam diri kita.” Penuh teratur Balqis menuturkan kata-kata itu.

“Qis, macamana ye kita bersihkan hati kita? Macamana nak lembutkan hati yang keras? Apa ubat bagi hati yang mati?” Maryam memandang lembut wajah tenang Balqis yang sedang memandu. Ada air jernih yang bergenang di kelopak matanya. Balqis memandang wajah Maryam sekilas.

“Mar, hati kita ni hak milik Allah, ciptaan Allah. Dan hati ni sifatnya berbolak-balik. Jadi, mintalah pada Allah, Tuhan yang mencipta, Tuhan yang memegang dan Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati kita. Minta agar Allah tetapkan hati kita. Mintalah bersungguh-sungguh pada dia. Para Muttaqin ada menyebutkan, bila hatimu keras bukalah al-Quran, baca dan tadabburlah isinya kerana al-Quran itu penawar hati. Jika masih keras juga, dirikanlah solat kerana solat itu zikir penyucian hati. Dan kalau masih keras juga ingatlah mati kerana ia membasuh jiwa yang gelisah dan hati yang resah. Tetapi kalau hati itu masih keras juga, berdoa dan bermohonlah kepada Allah agar dikurniakan hati yang baru kerana hakikatnya pada saat itu kamu sudah tidak memiliki hati.”

Maryam tunduk membisu, lama. Dia melemparkan lagi pandangannya ke luar tingkap. Balqis meneruskan pemanduannya dengan berhati-hati. Apabila menghampiri rumah banglo berbumbung biru, Balqis memperlahankan keretanya. Apabila keretanya betul-betul berada di hadapan banglo berbumbung biru itu, dia memberhentikan keretanya. Enjin Kelisa dimatikan.

“Jom, kita dah sampai. Ni la rumah Nana.” Senyum Balqis melebar. Dia membuka pintu kereta. Tatkala kakinya melangkah keluar tiba-tiba dia mengaduh kesakitan.

“Eh, Qis! Kenapa?” Maryam bertanya, bimbang.

“Err... T..Tak ada apa. Terpijak duri sikit. Qis tak apa-apa. Mar janganlah risau.” Balqis tertunduk-tunduk memeriksa tapak kakinya. Maryam berlari anak mendapatkan Balqis. Dia tunduk sama untuk melihat kaki Balqis.

“Alhamdulillah, nasib baik tak apa-apa.” Maryam bersuara perlahan. Wajah Balqis yang tersenyum dipandangnya.

“Sayang juga Mar pada Qis ye?” Soal Balqis sambil mengulum senyuman.

“Eh, mestilah! Qis kan sahabat Mar. Mestilah Mar sayang.” Jawab Maryam sambil mencuit hidung Balqis.

“Bila terkena musibah macam ni, Qis teringat kat satu hadis yang berkaitan duri.

“Hadis berkaitan duri?” Soal Maryam kehairanan.

“Ha’ah. Saidina Umar pernah bertanya kepada seorang sahabat tentang taqwa. Sahabat ni menjawab, taqwa ni umpama melalui jalan yang penuh duri. Kita akan bersungguh-sungguh serta berhati-hati melaluinya supaya tak tercucuk duri.” Balqis tersenyum memandang Maryam.

“Maksudnya?” Soal Maryam. Dia mengangkat kening sebelah.

“Maksudnya, taqwa tu umpama kita melakukan sesuatu dalam keadaan seperti kita berjalan di atas jalan yang penuh duri. Kita buat dalam keadaan berhati-hati, dan bersungguh-sungguh. Kalau silap langkah, kita akan tertusuk duri dan merasa sakit.” Balqis tersenyum senang.

“Qis, Mar ada satu lagi soalan nak tanya Qis. Kenapa ye kita kena hidup dalam jamaah? Kenapa kita tak boleh hidup seorang diri?”

“Mar, sebatang lidi lagi mudah nak dipatahkan berbanding seberkas lidi. Anak kambing yang terkeluar dari kumpulannya akan mudah ditangkap dan dimakan oleh serigala berbanding anak kambing yang berada di dalam kumpulannya. Macam tu la juga dengan diri kita. Bila kita hidup seorang diri, kita akan mudah untuk dipengaruhi oleh hawa nafsu dan anasir-anasir luar yang negatif. Selain hidup dalam jamaah, penting juga bagi kita untuk memilih sahabat.” Balqis berhenti sejenak. Dipandangnya wajah Maryam.

“Pernah dengar tak, perumpamaan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi?” Maryam menggelengkan kepalanya.

“Bila kita berkawan dengan penjual minyak wangi, mendapat bau harumnya. Tapi kalau kita berkawan dengan tukang besi pula boleh menyebabkan rumah atau baju kita terbakar.” Balqis angkat kening dua kali.

“Terima kasih ye Qis, banyak sangat ilmu yang Mar dapat hari ni. Beruntung sangat Mar dapat sahabat macam Qis.” Maryam mengenggam erat tangan Balqis.

“Eh, Qis pun beruntung juga tau dapat sahabat macam Mar. Dah la comel, pandai pulak buat kek coklat yang sedap tu.” Balqis tersengih lebar menunjukkan baris giginya yang putih bersih.

“Eh, kita ni asyik la bersembang kat sini. Apa khabarlah agaknya Nana tu. Jomlah kita masuk. Lain kali kita sambung cerita tentang hati ni ya?” Maryam menghulurkan tangannya kepada Balqis. Balqis menyambut mesra tangan Maryam. Setelah mengunci pintu kereta Kelisanya, mereka beriringan melangkah masuk ke perkarangan rumah Nana.

No comments:

Post a Comment