Wednesday, April 21, 2010

KEMBARA CINTA (5)

-Ke Mana Arah Tujuanku?-

Deruan ombak memecah ketenangan pantai. Wardah senang duduk di atas tunggul kayu mati sambil ralit memerhatikan alunan ombak yang memukul pantai, juga bot-bot kecil nelayan yang pulang membawa hasil tangkapan. Ya, barangkali jika ada rezeki mereka.

'Mengapa aku berada di sini?' Itu satu persoalan yang Wardah sendiri tidak pasti akan jawapannya. Yang pasti, dia ingin lari dari segala-galanya. Lari dari semua cakap-cakap yang bisa merobek hatinya yang sudah sediakala hancur. Dan di sini dia beroleh ketenangan. Ketenangan yang sungguh didambakannya saat ini. Sebenarnya Wardah sendiri tidak pasti, betulkah tindakannya selama ini? Adakah dia kini bagaikan insan yang sedang cuba untuk lari dari masalah? Tidak berani untuk berhadapan dengan realiti yang sebenar? Wardah sendiri bingung!

Kini sudah hampir sebulan dia berada di daerah ini…ya, sebuah daerah yang cukup asing buat dirinya… bandar Kuantan. Selama ini tidak pernah terlintas di fikiran bahawa dia bakal menghuni di daerah ini. Berkelana, jauh dari keluarga, jauh dari saudara mara, jauh dari sahabat handai, malah jauh dari insan-insan yang dikenalinya.

Dengan hanya berbekalkan keyakinan, Wardah menguatkan kaki untuk ke daerah ini. Tapi, apa yang dia cari di sini? Kemanakah sebenarnya arah tujuannya? Bagaimanakah masa depannya? Akan gelapkah seperti gelapnya malam tanpa bintang-bintang dan purnama yang menghiasi? Arghh!!! Buntu rasanya!

Ya Allah, beratnya dugaan yang Kau berikan ini. Tak tertanggung lagi rasanya. Seperti mahu pecah dada ini menahan asakan demi asakan. Kenapa aku terus-terusan diuji? Mampukah aku untuk terus begini? Tiadakah sedikit pun sinar kegembiraan untukku? Ya Allah, aku cukup takut untuk menghadapi hari muka.

Wardah masih ingat lagi hari pertama dia bertugas sebagai guru di Tadika Sri Anggerik, perasaannya begitu berdebar. Bagaimanakah agaknya penerimaan anak-anak kecil itu terhadapnya? Pasti kerisauan itu bertandang kerana tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi seorang pendidik, apatah lagi menjadi seorang guru tadika. Wardah seakan tidak percaya bahawa Syauqah Wardah Ahmad Ghazali pada hari dan detik ini telah bergelar seorang guru tadika! Terasa dia tidak akan mampu untuk menangani karenah anak-anak kecil yang baginya umpama jelmaan 'syaitan-syaitan' kecil. Iyalah, pastinya pengalaman membesar bersama lima orang adik-adik lelaki telah menjadikan minda dan pemikirannya secara automatik 'terprogram' bahawa semua kanak-kanak adalah sama, buas dan merimaskan!

Namun, sangkaannya jauh meleset! Wardah diterima dengan cukup baik. Wardah pasti ingat Izzatul Aini, anak kecil pertama yang menegurnya dengan tersipu-sipu. Wajah kecil yang putih itu kelihatan sedikit kemerah-merahan.

"Emm…cikgu ni cikgu baru kat sini ke?" itulah soalan yang berupa sapaan pertama dari bibir mungil Izzah. Pertanyaannya dijawab sekadar dengan satu anggukan.

"Siapa nama cikgu?" soalnya dengan ramah.

"Cikgu Wardah," balas Wardah pendek sambil menghadiahkan sekuntum senyuman buat Izza.

"Nama saya Izza, Izzatul Aini binti Rahim," katanya memperkenalkan diri sambil jarinya ligat memintal-mintal rambutnya yang diikat ekor kuda. Dan hari itu berjalan dengan cukup lancar walaupun Wardah agak kekok. Almaklumlah, seumur hidup tak pernah ada sekelumit pun rasa untuk menjadi seorang guru. Apatah lagi untuk mengajar anak seawal usia empat tahun. Anak murid Wardah hanya seramai sepuluh orang. Namun untuk menarik perhatian mereka terhadap sesi pengajaran bukan mudah seperti yang orang lain sangkakan kerana afal mereka yang sering mengantuk di awal pagi.

"Cikgu!" jeritan si anak kecil mengembalikan Wardah ke alam realiti. Melihat wajah ceria si anak kecil di belakangnya bisa membuatkan bibir Wardah mengukir sekuntum senyuman. Teringat Wardah akan keletahnya tatkala di tadika.

"Cikgu, kat sebelah sana tu besar!"

"Mana?" soal Wardah sambil matanya meliar mencari tempat yang dimaksudkan.

"Sebelah kanan cikgu tu! Cepat cikgu, saya sambut kat bawah ni!" jawab si anak kecil itu sambil terlompat-lompat di bawah pokok Ciku.

"Ish, awak ni Anip, cubalah bersabar sikit. Sabar itu kan sebahagian daripada iman. Okey, sambut ni, jangan sampai jatuh!"

"Okaylah cikgu. Dah banyaklah ni. Cukuplah. Lain kali cikgu petik lagi ye?"

"Anip, ada orang lalu tak?" soal Wardah bimbang.

"Tak ada! Line clear!" Jeritnya riang. Dengan penuh hati-hati Wardah turun dari pohon Ciku yang tumbuh di hadapan tadika sambil matanya meliar melihat keadaan sekeliling. Aksi Wardah benar-benar mengalahkan pencuri. Bukannya apa, dia malu andai ada orang terlihatnya memanjat pokok. Jatuh saham nanti!

Ini adalah buah ciku! (bagi yang tak kenal buah ciku)


"Pergh! Cikgu Wardah memang best! Kalau selalu macam ni mesti seronok!" jerit Haniff, riang.

"Awak memanglah seronok... yang seksa cikgu!" balas Wardah sambil menggelengkan kepala. 'Hai, kalau selalu macam ni pengsan aku. Umur nak masuk 21 tahun, masih panjat pokok. Tau dek atuk, confirm aku bakal di'ceramah' oleh atuk habis-habisan.' Bisik hati kecil Wardah. Apa yang boleh dia lakukan? Tak mungkin dia tegar untuk membiarkan anak sekecil ini yang memanjat, seandainya jatuh dan tercedera, apa yang perlu dijelaskan kepada mak dan ayah Haniff nanti? Nak dibiarkan permintaan Haniff itu tidak sampai hati rasanya.

"Cikgu, buah ciku ni kena peram dulu ke? Tak boleh makan terus?" soal Haniff.

"Ya, kita kena peram buah ni dulu. Buah ni tak masak lagi la Anip, mana boleh makan lagi. Meh, bagi cikgu buah ciku tu, cikgu nak basuh dulu." Ujar Wardah sambil menghulurkan tangan ke arah Haniff, satu-satunya anak murid yang rumahnya paling hampir dengan tadika. Malah Haniff dan abangnya Najmi merupakan pengunjung setia tadika ini tidak kira siang atau malam.

"Anip, nak ikut cikgu pergi ke pantai tak? Nanti cikgu belanja Anip makan aiskrim." Tiba-tiba terlintas di fikiran Wardah untuk mengajak Haniff menemaninya ke Taman Gelora. Wardah cukup yakin Haniff pasti akan bersetuju apabila mendengar saja perkataan 'aiskrim'. Sikap Haniff ini tak ubah seperti Wardah. Seperti kata orang-orang tua, 'Cikgu borek, anak murid rintik'. Adakah pepatah seperti itu? Ah, whatever!

"Nak!" Seperti yang telah Wardah jangkakan tadi, apabila terdengar saja 'aiskrim' pasti Haniff akan menurut, apatah lagi Wardah yang membelanja.

"Cikgu, sedaplah aiskrim ni!" Haniff yang duduk di sisi Wardah begitu asyik menikmati aiskrim Cornetto yang dibelikan.

'Aiskrim percuma mestilah sedap Anip!.' Bisik Wardah di dalam hati. Wajah Haniff dipandang sekali imbas.

"Anip, Abang Najmi mana? Kenapa dia tak datang hari ni? Selalu kamu berdualah yang asyik tayang muka kat tadika tu waktu petang macam ni."

"Abang Najmi pergi ke sekolah. Ada sukan. Malam nanti kami datanglah tadika. Kan Cikgu nak ajar kami matematik malam ni."

"Oh, ye ke?" Patutlah batang hidung Najmi tidak kelihatan hari ini. Sebenarnya setiap malam selain hujung minggu, Wardah dan Kak Maisarah mengajar Haniff dan Najmi secara percuma. Sekadar untuk mengisi waktu lapang. Boleh juga buat amal jariah.

"Cikgu, nanti cikgu kahwinlah dengan Abang Abid. Mesti seronok kalau cikgu jadi kakak saya!"

'Eh, melalut pula budak ni. Abid tu lagi muda dari aku. Ish, tak naklah aku.'

"Anip, abang awak tu lagi muda dari cikgu. Mana boleh," ujar Wardah.

"Kalau tak boleh dengan Abang Abid, Abang Hafiz ada. Umur dia 24 tahun. Okeylah tu kalau dengan cikgu."

'Aik, tak habis-habis lagi? Tak dapat dengan Abid, Hafiz pulak yang nak dipadankan dengan aku?' Bisik hati kecil Wardah.

"Jangan nak mengarutlah Anip, cikgu yang garang macam singa ni awak nak ke jadi kakak ipar?"

'Ada hati juga nak jadikan aku sebagai kakak ipar. Terlupakah selalu dimarah oleh aku dalam kelas?'


"Nak!"

'Ha? Demamkah budak ni?'

"Dah, cepat habiskan aiskrim tu. Sekejap lagi kita balik. Dah nak masuk waktu Maghrib ni. Jangan cakap yang bukan-bukan lagi. Faham?" 'Itulah, kan dah kena se'das' dengan aku. Mengarut lagi.' Terkocoh-kocoh Haniff menghabiskan aiskrim di tangannya.

Sebulan di bandar Kuantan, menjadi rutin Wardah hampir setiap hari berjogging di tepi pantai. Jika tidak berjogging, dia lebih gemar duduk di atas sebatang pohon tumbang sambil memerhatikan ombak yang memukul pantai. Seronok rasa di hati apabila menyaksikan alunan ombak, matahari di waktu senja berlabuh dan juga menikmati tiupan bayu yang sepoi-sepoi language. Terubat rasanya rindu di hati ini pada teman-teman yang jauh ditinggalkan di seberang Laut China Selatan. Kadangkala Wardah berharap ombak dan bayu ini akan menyampaikan salam kerinduan buat mereka di sana.

Teman, kiranya sang bayu menghembusi paras wajahmu, ketahuilah bahawa itulah rinduku yang sering menyebut-nyebut namamu. Teman, kiranya tempias hujan membasahi jendelamu, yakinlah bahawa itulah air mata yang jatuh di pipiku saat mengingatimu. Sesungguhnya perpisahan itu sesuatu yang cukup menyakitkan. Namun, apakan dayaku. Yang penting, aku harus tabah menghadapi liku-liku kehidupan ini...



Kulayarkan kerinduan di lautan memori
Mengimbau kenangan indah yang menyentuh emosi
Masih segar di ingatan saat mesra berputik
Hadirmu bawa sinaran cahaya inspirasi

Sahabat
Kau sesungguhnya
Temanku di kala suka dan lara

Tika ku buntu diselubungi sendu
Kau tiupkan ketabahan untuk ku ukir senyuman
Bagaikan embun hilang di terbit fajar
Kau pergi jauh mengejar cita
Menggapai redha yang Esa

Duhai sahabat dengarkanlah
Bicara hati ku ini
Meskipun jarak memisahkan
Namun tiada noktah kasih
Biarlah waktu menentukan
Nilai ukhwah yang terjalin
Teruskanlah perjuangan
Hingga ke titisan darah terakhir

Dan aku...masih di sini
Terus mendaki puncak tertinggi hidupku
Dan aku...terus menanti
Saat yang manis akan berulang kembali
Sahabat...
--------------------------------
Sahabatku ( Deevotees )

No comments:

Post a Comment