Thursday, May 27, 2010

[K.A.M.I] Maryam Ibtihal - Bab 3


- Wahai Jiwa Yang Tenang! -

“Abang, sekarang ni dah masuk tiga bulan saya kenal abang. Tapi saya tak tau pun abang kerja kat mana. Erm... dulu abang belajar kat mana ye?” Soal Din sambil tangannya menyapu-nyapu hujung seluar jeans yang dipakainya.

“Abang dulu belajar kat UTM Skudai. Abang ambik kejuruteraan mekanikal aeroangkasa.” Meeftah tersenyum nipis.

“Oooo...” Din memuncungkan mulutnya. Meeftah menggosok kepala Din mesra. Mereka tertawa kecil.

“Kenapa buat gaya macam tu?” Meeftah angkat kening sebelah. Dipandangnya raut wajah Din yang sedang membetulkan rambutnya.

“Hehe... habit kot! Wah, hebatlah abang. Mesti abang belajar buat kapal angkasa dengan roket kan? Eh, dah tu abang kerja kat mana?” Din memeluk tubuh sambil memandang Meeftah yang duduk di sebelahnya.

“Kat hospital.” Jawab Meeftah pendek.

“Hah? Hospital?” Soal Din dengan mulut ternganga.

“Ya. Abang kerja kat hospital. Kenapa? Pelik ke?” Meeftah angkat kening dua kali.

“Abang ambik aeroangkasa kan?” Soal Din dengan wajah berkerut.

“Eh, apa buat gaya macam tu. Hodohlah! Eh, nak tau tak kat hospital pun ada roket tau.” Meeftah tersengih melihat reaksi muka Din.

“Biar betul abang ni?” Din menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia membetulkan duduknya.

“Tak adalah. Abang main-main je. Walaupun abang ni ambik aeroangkasa, tapi asas kursus abang ni mekanikal. Dan salah satu subjek dalam kejuruteraan mekanikal yang abang belajar ialah termodinamik. Jadi syarikat tempat abang bekerja sekarang ni menyediakan khidmat servis dan maintainance untuk loji dandang di hospital tu. Loji dandang ni yang akan salurkan air panas ke seluruh hospital.”

“Jadi, kalau belajar aeroangkasa tak semestinya kerja di bahagian roket dan kapal terbanglah? Soal Din.

“Yup sebab aeroangkasa atau automotif ni cuma pengkhususan je. Asasnya sama cuma automotif aplikasinya pada kereta tapi aeroangkasa aplikasinya pada kapal terbang. Sebab tu ada graduan dari aeroangkasa bekerja di Proton.”

“Manalah tau kot Proton nak buat kereta yang boleh terbang. Tekan suis je keluarlah sayap. Takpun kereta yang ada kuasa turbo macam roket. Takpun kereta yang boleh terapung macam dalam kapal angkasa yang tak ada graviti tu.” Din tertawa riang. Kedua-dua tangannya diangkat gaya kapal terbang sedang melayang. Meeftah menumbuk lembut bahu Din yang duduk di sebelah kanannya.

“Apa kes makan kerepek petang-petang ni?” Dia tertawa kecil.

“Ala, tak best la macam tu. Belajar penat-penat pasal roket, kapal terbang tapi kerja kat hospital.” Din mencebik bibir.

“Kalau nak kerja betul-betul dalam bidang aeroangkasa kat Malaysia ni agak susah sikit sebab peluangnya sangat terhad. Dan Din kena tau juga. Bidang mekanikal ni luas sebenarnya.” Meeftah menghadiahkan sebuah senyuman buat Din.

“Oh, ya! Asyik cakap pasal abang je. Din nak sambung bidang apa lepas ni? Keputusan UPU dah keluar kan?” Meeftah menoleh Din di sisinya. Riak wajah Din berubah menjadi keruh tiba-tiba. Kepalanya ditundukkan, rendah.

“Kenapa ni? Ada masalah ke? Ceritalah pada abang. Insyaallah abang cuba bantu.” Meeftah memaut lembut bahu Din. Dia dapat mendengar esakan kecil.

“Aa... Ayah... Sampai hari ni tak bercakap dengan Din. Pandang muka Din pun dia tak nak.” Ada sendu dalam suara itu.

“Tapi kenapa?” Soal Meeftah kehairanan.

“Din gagal dalam permohonan IPTA. Abang pun tau, keputusan Din bukannya baik sangat. Tapi ayah beria-ia suruh Din buat rayuan untuk masuk matrikulasi UIA. Din tau ayah nak sangat tengok anak dia masuk universiti. Din bukan nak bantah cakap ayah tapi Din tahu kemampuan Din. Din takkan berjaya kalau buat rayuan pun sebab bahasa Inggeris Din tak kredit. Din dapat tawaran dari KUIM. Din bercadang nak terima tawaran tu. Tapi belum sempat Din nak buka mulut bagitau, terangkan pada ayah, dia dah angkat kaki. Sekarang ni pun Din macam patung cendana je kat rumah tu. Ayah langsung tak tegur Din.” Din menyapu air mata di pipinya. Adakah aku lemah andai aku menangis? Berdosakah seorang lelaki seperti aku menangis?

“Nasib baik mak tak macam tu. Cuma mak pun tak boleh nak cakap apa. Ayah tu kalau dia kata hitam, hitamlah. Tak ada siapa boleh bantah. Abang, kenapa ye orang dewasa selalu fikir diorang je yang betul? Cakap diorang je betul? Kenapa tak pernah nak dengar apa yang anak-anak ni rasa? Kenapa tak pernah nak cuba faham jiwa anak-anak ni?” Dadanya seakan sesak dirasakan. Air matanya gugur lagi.

Meeftah sekadar membisu. Dia cuba menjadi pendengar yang baik dan pada masa yang sama otaknya ligat memikirkan jalan penyelesaian terbaik.

“Din tau, Din nakal sebelum ni. Din banyak buat ayah marah. Din akui kadang-kadang Din sengaja bangkitkan kemarahan ayah. Din sengaja bercampur dengan budak-budak nakal sebab Din geram sangat pada ayah. Ayah tak pernah nak cuba faham hati anak-anak. Cukuplah kakak terpaksa korbankan minat dia nak jadi pelukis gara-gara ayah tak suka. Ayah kata lukisan-lukisan tu tak boleh bagi kakak makan. Kakak dah turut kemahuan ayah, korbankan minat dia dengan masuk kolej kejururawatan seperti yang ayah mahukan.” Din menyapu mukanya dengan belakang telapak tangan.


“Din, inilah ujian namanya. Ujian itu apa bagi insan yang bergelar mukmin? Ujian itu tanda sayang Allah pada kita. Cuba fikir, Allah yang ciptakan Din. Jahil ke Allah dengan keupayaan Din? Pastinya tidak kan? Allah titipkan ujian ni sebab Allah tak nak tengok Din kekal kat tampuk lama tanpa sebarang kelebihan dalam beramal sehingga Din ketinggalan dek dunia. Pasti ada sesuatu yang Allah dah rancangkan buat Din. Sesungguhnya, kita ini manusia merancang dengan cita-cita tetapi Allah merancang dengan cinta-Nya.” Meeftah menggosok lembut kepala Din.

“Penat Din, runsing Din... Semuanya dalam pengetahuan Allah. Begitu juga dengan sabar Din yang Allah sedang nilai. Dalam situasi Din sekarang ni, bagi abang Din ikut saja kemahuan ayah. Maksud abang, kalau dia suruh Din buat rayuan tu, Din buatlah walaupun pun Din dah dapat agak keputusannya. Dan dalam waktu yang sama adukanlah pada Allah. Dia itu Maha Mendengar. Istikharahlah Din. Kalau Din dah istikharah, teruskanlah dengan apa yang Allah hadiahkan buat Din. Belajar didik hati untuk jadikan keputusan Allah sebagai satu-satunya pembimbing.” Meeftah menggenggam erat tangan Din.

“Apa-apa pun, fikirlah masak-masak. Tenang hati, tenang jiwa. Insyaallah Din suka jawapan yang Allah bagi. Fa’asa an takrahu syai-an fahuwa khoirun lakum. Wa’sa an tuhibbu syai-an fahuwa syarrul lakum. Kadang-kadang apa yang kita tak suka itu baik untuk kita dan apa yang kita suka tu belum tentu lagi baik untuk kita.”

Izhas ta’inta fastai’nbillah... Jika kamu mahukan pertolongan, mintalah Allah menolongmu. Jangan lupa itu.” Meeftah menggosok lembut kepala Din.

“Kenapa abang suka gosok kepala saya?” Soal Din sambil tangannya menyeka air mata di pipi.

“Sebab Din nampak comel bila abang buat macam tu. Haha..!” Meeftah tertawa besar.

“Dah, kesat air mata tu. Tak macho la orang lelaki menangis.” Din tertawa mendengar kata-kata Meeftah. Sisa-sisa air mata dikesat. Wajah Meeftah dipandangnya lama. Tangannya menopang dagu.

“Kenapa pandang abang macam tu?” Soal Meeftah kehairanan. Kepalanya yang tidak gatal digaru.

“Tengah fikir, abang ni jurutera ke ustaz?” Din tersengih sambil tangan kanannya diletakkan di dagu lagak orang sedang berfikir.

An ustaz in an engineer... Two in one…” Balas Meeftah selamba.

“Macam syampu dua dalam satu je…” Din mencebik. Meeftah tertawa melihat kelakuan Din. Dia lantas berdiri. Jam di pergelangan tangannya dikerling lantas dia memandang Din yang masih setia duduk di bangku kayu itu.

“Dah lewat ni. Jom abang hantar Din balik rumah. Kalau ayah ada kat rumah, bolehlah abang jumpa ayah.”

“Hah? Abang nak jumpa ayah? Nak buat apa?” Din kaget. Dia turut bagun berdiri di sisi Meeftah. Wajah Meeftah dipandangnya lama.

“Janganlah panik. Abang nak kenal dengan ayah je. Nanti bolehlah abang cuba terangkan keadaan Din pada ayah. Insyaallah, kalau niat kita baik Allah akan permudahkan. Jangan risau ye.” Meeftah tersenyum dan menepuk bahu Din.

“Tapi, ayah tu...” Kata-kata Din terhenti di situ.

“Abang yakin ayah Din tak pernah makan orang kan? Ayah Din makan nasi je, betul tak?” Meeftah angkat kening dua kali sambil memandang Din. Din tertawa melihat tingkah Meeftah yang dirasanya agak lucu.

“Dah, jom balik!” Meeftah menggamit Din untuk turut sama mengikutinya ke kereta. Mereka melangkah beriringan menuju ke tempat letak kereta di hujung taman. Petang itu agak ramai orang berkunjung ke taman ini. Kebanyakkannya datang bersama-sama keluarga. Meeftah sempat melihat gelagat anak-anak kecil berkejaran bersama ibu dan bapa mereka. Dia tersenyum melihat pemandangan itu.

“Kenapa bang? Teringin nak ada famili macam tu ke? Haha.. Apa tunggu lagi? Kahwinlah bang. Abang pun ada rupa, dah kerja, dah ada kereta. Kalau abang petik jari confirm beratur anak dara nak jadikan abang suami. Tinggal nak pilih je. Apa lagi abang nak?” Tiba-tiba Din mengusik.

“Amboi, ingat nak pilih isteri macam nak pilih barang kat kedai?” Meeftah tertawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Din turut tertawa. Mereka berdua tiba di depan kereta proton Persona hitam milik Meeftah. Kereta yang dibelinya hasil titik peluhnya bekerja hampir dua tahun sebagai jurutera mekanikal di sebuah syarikat swasta. Meeftah menekan punat alat penggera. Pintu di sebelah tempat pemandu dibukanya.

“Jom, masuk.” Pelawa Meeftah. Anak kunci diputar dengan cermat. Enjin kereta berderum perlahan. Din masuk mengambil tempat di sebelah Meeftah. Setelah memastikan tiada kenderaan lain di belakang, Meeftah mengundurkan keretanya dengan berhati-hati.

“Din, cuba ambil terjemahan al-Qur’an dalam kotak depan Din tu.” Meeftah bersuara tenang. Tumpuannya penuh kepada pemanduan. Din menurut permintaan Meeftah. Kotak di hadapannya di buka perlahan. Dia mencapai terjemahan Al-Qur’an yang terdapat di dalamnya.

“Cuba tengok surah al-Fajr ayat 27 dan 28. Baca terjemahan ayat-ayat tu.” Din menurut apa yang dipinta Meeftah. Tangannya lincah menyelak satu-persatu helaian terjemahan Al-Qur’an itu. Akhirnya dia menemui apa yang dicari.

Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya...” Perlahan Din membacakan terjemahan ayat 27 dan 28 dari surah al-Fajr. Usai sahaja, dia memandang Meeftah yang sedang tenang memandu di sebelahnya.

“Apa yang dimaksudkan dengan jiwa yang tenang?” Soal Meeftah tiba-tiba. Din diam membisu. Matanya menekur ke bawah.

“Jiwa yang tenang ialah jiwa yang sentiasa mengingati Allah dengan berzikir dan bertaqwa kepada Allah. Tadi abang ada kata fikir masak-masak, tenang jiwa, tenang hati, kan? Jadi sentiasalah mengingati Allah dengan berzikir menyebut-nyebut nama Allah. Tak rugi pun bila kita memperbanyakkan berzikir. Malah hati kita akan menjadi lebih tenang. Kita rujuk balik firman Allah dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Meeftah diam seketika.

“Cuba dengar lagu ni...” Meeftah menekan punat pemain CD. Perlahan-lahan kedengaran alunan lagu bergema.

Andaikan diriku bisa seperti yang lain
Yang Kau sayang
Yang Kau rindukan
Yang Kau cintai

Aku lemah
TanpaMu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku tolongku ya Allah

Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi

Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku cinta Allah

“Din, kesusahan yang ditimpakan ke atas kita selalu membuatkan kita rasa kita makin jauh dengan Allah. Tapi Maha Agung Kasih dan Cinta Allah. Sebenarnya kita tak pergi jauh malah terus kepada Allah dan akhirnya kita akan bertemu juga dengan Allah. Semoga Allah merahmati kita semua...” Meeftah bersuara penuh makna.

Din melemparkan pandangannya keluar tingkap. Hatinya diruntun sayu. Dia akur, dia pernah membuat kesilapan. Namun dia bersyukur kerana Allah pertemukan dia dengan Abang Meeftahuddin. Betul apa yang Abang Meeftah katakan. Manusia merancang dengan cita-cita tetapi Allah merancang dengan cinta-Nya dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Subhanallah, Maha Suci Allah...!!!

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu...”
(Surah al-Fajr: ayat 27 – 30)




__________________________________
* Wali Band - Aku Cinta Allah

No comments:

Post a Comment