Tuesday, April 20, 2010

[K.A.M.I] Maryam Ibtihal - Bab 1


- Mencari Damai Di Hati -

“ASSALAMUALAIKUM...” suara seorang kanak-kanak perempuan menarik perhatiannya. Earphone di tangan disimpan kembali ke dalam poket beg galas. Maryam berpaling ke arah suara yang memanggilnya.

Seorang anak kecil memandangnya dengan sebuah senyuman manis. Matanya bulat, dihiasi dengan alis mata yang tebal dan lesung pipit di pipi kirinya membuatkan matanya enggan beralih dari memandang wajah comel itu.

“Assalamualaikum kak...” sekali lagi lafaz salam dihulur setelah salam yang pertama dibiarkan sepi.

“Err... Waalaikumsalam... Kenapa dik?” Maryam jadi malu sendiri gara-gara dia terlupa membalas ucapan salam anak kecil itu.

“Akak, kenapa kakak tak tutup aurat betul-betul? Kakak pakai tudung tapi kenapa pakai baju lengan pendek? Tangan kita kan aurat...” Butir-butir perkataan yang keluar dari bibir anak kecil itu bagaikan belati yang menghiris hati. Kata-kata itu umpama peluru yang mengenai sasarannya. Ucapan itu bagaikan batu besar yang menghempap kepala saat itu.

Maryam kehilangan kata. Wajahnya merona merah. Andai dia punya pintu suka hati atau mantel halimunan saat ini, ingin saja dia segera menghilangkan diri dari pandangan anak kecil itu.

“Err... aaa... Aakkakk... Akak...” Dalam gugup Maryam cuba bersuara. Dia menelan air liur.

“Nusaibah, kenapa kacau kakak tu?” Satu suara yang tiba-tiba kedengaran menjadi penyelamat. Maryam mengucap syukur. Dia berpaling ke belakang mencari empunya suara. Seorang wanita bertudung litup dan berjubah warna polos sedang memandang mereka berdua sambil tersenyum. Maryam gugup. Bibirnya mengukir senyuman kelat.

“Eh, ummi...” anak kecil itu tersenyum girang. Pantas dia berlari mendapatkan wanita yang dipanggil ummi itu. Tangannya merangkul mesra pinggang wanita itu. Nusaibah dan umminya melangkah mendekati Maryam. Sebuah senyuman dilemparkan.

“Maafkan anak makcik ni kalau dia mengganggu adik... err...”

“Maryam. Saya Maryam Ibtihal.”

“Nama makcik Safiyyah. Ini anak bongsu makcik, Nusaibah. Makcik minta maaf ye kalau Nusaibah ni mengganggu Maryam. Dia ni memang macam ni. Terlebih peramah...” Makcik Safiyyah tertawa kecil.

Maryam mengukir senyum bergaris lurus. Kepalanya menggeleng perlahan. “Tak ada apa pun makcik. Nusaibah tak ganggu saya sikit pun.”

“Maryam buat apa kat sini? Maryam tunggu orang ke?” soal Makcik Safiyyah.

“Saya tunggu kawan. Dah janji nak jumpa dia kat sini. Kami ada perbincangan sikit.”

“Oh...” Makcik Safiyyah mengangguk perlahan.

“Eh, Ummi Safiyyah! Apa ummi buat kat sini?” Balqis tiba-tiba muncul bagaikan jatuh dari langit. Maryam mengerut dahi.

“Laa... Maryam ni kawan Qis ke?” Makcik Safiyyah tertawa kecil.

“Ha'ah, Mar ni kawan Qis. Kami ada perbincangan sikit. Ummi buat apa kat sini?”

“Ni haa... Melayan si Nusaibah la. Dia minta ummi buatkan puding karamel dan kek coklat. Ummi tengah ralit baca senarai bahan-bahan yang nak dibeli, dia pula menghilang. Tengok-tengok dia sibuk mengacau Maryam ni.”

“Eh, tak adalah makcik. Nusaibah tak ganggu saya pun.” Cepat-cepat Maryam memintas.

“Eh, ummi minta diri dulu ye. Insyaallah lain kali kita jumpa lagi. Jemputlah datang ke rumah. Qis bawalah Maryam ni datang rumah ummi. Boleh kita eratkan lagi ukhwah.” Makcik Safiyyah menghulur tangan bersalaman diikuti oleh Nusaibah sebelum mengundur diri.

Maryam termangu seketika.

“Mar, awak okey ke?” Suara Balqis mematikan lamunannya. Maryam tersenyum tawar. Pantas dia mengangguk.

“Betul ke ni? Kalau macam tu, jom kita pergi sekarang!” Balqis tersengih menayangkan giginya yang putih bersih. Maryam angkat kening sebelah. Earphone di tangan disumbat ke telinga. Dan Evanescence pun berlagu.

How can you see into my eyes like an open doors?
Leading you down into my core where I’ve become so numb
Without a soul, my spirit sleeping somewhere cold
Until you find it there and lead it back home *


“BALQIS, BETULKAH ALLAH boleh menegur kita dengan menghantar sesiapa pun?” soal Maryam.

Dahi dan kening Balqis berkerut serentak. “Maksud awak?”

“Sebenarnya tadi waktu saya tunggu awak, tiba-tiba Nusaibah muncul kat depan saya. Macam jatuh dari langit. Lepas tu, dia tanya pada saya kenapa saya tak tutup aurat sepenuhnya. Dia kata tangan ni pun termasuk dalam aurat wanita. Could you imagine budak seusia dia boleh cakap macam tu?” Maryam menggeleng perlahan.

“Atau Allah sedang menegur awak melalui perantaraan Nusaibah? Macam tu maksud awak?” Balqis mengukir senyum nipis. Maryam mengangguk perlahan. Wajahnya muram.

“Mar, saya tak nafikan yang teguran Allah tu datang dalam pelbagai bentuk. Hidup kita atas dunia ni tak ubah macam kita sedang berjalan di atas sebatang jalan. Bila kita mula tersasar atau mulai tergelincir, Allah yang Maha Penyayang mengutuskan perantara untuk menarik kita agar kembali semula ke atas jalan yang benar itu. ‘Penarikan’ itu mungkin berbentuk teguran seperti yang awak terima melalui Nusaibah. Perantara itu mungkin manusia, mungkin haiwan yang mana awak akan memahami teguran-teguran itu apabila awak berfikir.”

Balqis menarik senyum segaris. Wajah muram Maryam dipandangnya lama. Ada simpati yang bertandang di hati saat ini. Dia tidak boleh menyalahkan Maryam atas apa yang berlaku. Maryam dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Balqis sedar, sebagai sahabat dan saudara seagama dia bertanggungjawab menyedarkan dan membantu Maryam. Bukankah menjadi tanggungjawab seorang sahabat untuk menegur kesilapan dan kesalahan sahabatnya?

Rasulullah SAW ada bersabda, ‘Khairunnas anfa’uhum linnas’. Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaat bagi orang lain.” Ya, dia mahu menjadi seorang manusia yang memberi manfaat kepada orang lain apatah lagi buat sahabat yang berada di sampingnya saban ketika. Dia tahu, Maryam perlu dibantu dan dia yakin setiap orang ada potensi yang tersendiri.

Balqis masih ingat, panglima Khalid al-Walid sebelum memeluk Islam adalah seorang panglima perang yang sangat tinggi potensinya dalam bidang ketenteraan termasuk strategi peperangan. Rasulullah sendiri mengagumi potensi yang ada pada dirinya. Setelah sinar Islam sampai kepadanya, potensi yang ada padanya terus meledak! Dia begitu ikhlas dalam berjihad menegakkan kalimah Allah. Malah sewaktu dilucutkan jawatan dari panglima menjadi askar biasa, dia tetap ikhlas berjuang dan syahid di medan perang menjadi cita-cita tertingginya.

Balqis yakin jika potensi yang ada pada Maryam berjaya digilap, dia akan menjadi permata yang bersinar indah di medan dakwah. Dan untuk itu dia harus membina kepercayaan dalam diri Maryam terhadap dirinya dan memperkukuhkan ukhwah yang terbina di antara mereka.

“Mar, tapi tak mustahil juga anak kecil seusia Nusaibah tu boleh cakap macam tu. Itulah hasil didikan dan tarbiyyah yang Ummi Safiyyah dan Ustaz Zulhilmi terapkan dalam jiwa anak-anak mereka. Anak-anak diajar konsep ubudiyyah sejak kecil lagi.”

Ubudiyyah? Apa tu?” Dahi Maryam berkerut seribu. Dia membetulkan posisi duduknya. Wajah Balqis dipandangnya penuh tanda tanya. Balqis tersenyum manis. Dia membetulkan posisi duduknya agar bertentangan dengan Maryam.

“Konsep ubudiyyah ni adalah konsep kehambaan. Secara mudah, kita ini dicipta oleh Allah. Jadi sebagai makhluk yang dicipta, kita wajib tunduk dan patuh kepada Allah. Hanya Dia yang layak kita sembah, bukan selain Dia. Patuh kepada Allah juga bermakna kita harus menunaikan segala perintah, dan meniggalkan semua larangan.”

“Tapi, kenapa saya tak pernah tahu semua ni? Kenapa ibu dan ayah tak pernah ajar saya semua ni?” Maryam memandang Balqis. Ada air jernih yang bertakung di kelopak matanya. Perlahan, Balqis mencapai lembut tangan Maryam dan menggenggamnya erat.

“Mar, husnuzhan. Bersangka baiklah pada ibu dan ayah. Mungkin mereka sendiri tidak mendapat pendedahan sewajarnya. Dan mungkin juga mereka cetek dari segi ilmu pengetahuan agama. Pada saya, tak terlambat lagi untuk awak perbaiki diri.”

“Qis, secara jujurnya banyak perkara tentang Islam yang saya tak tahu. Banyak perkara yang saya tak betul-betul faham. Saya jahil Balqis! Saya malu sangat! Saya malu pada Nusaibah! Saya malu pada Allah! Selama ni saya hidup tanpa saya mengerti tujuan saya diciptakan atas muka bumi ni...” Tangisan Maryam terhambur jua. Balqis merapati tubuhnya mendekati Maryam. Belakang tubuh Maryam diusap perlahan.

Shh... sabar Mar. Tak terlambat lagi untuk awak perbetulkan semua ni. Insyaallah, saya sanggup bantu awak. Kita sama-sama perbaiki diri kita. Dan kemudian kita bantu orang lain di sekeliling kita.” Balqis berusaha menenangkan Maryam yang semakin tenggelam dalam tangisan.

“Ma...mak..maksud Qis?” soal Maryam dengan suara tersekat-sekat. Balqis tersenyum senang mendengar namanya bermain di bibir Maryam. Tiada lagi saya-awak. Moga hari ini dan detik ini akan merapatkan lagi hubungannya dan Maryam.

“Mar perbaiki diri Mar, dan kemudian Mar bantu perbaiki ibu dan ayah pula. Imam Hassan al-Banna ada berpesan, ‘perbaikilah dirimu kemudian serulah kepada yang lain’. Insyaallah, berdoa dan pohonlah pada Allah agar Dia membantu kita.” Balqis menyeka sisa-sia air mata di wajah Maryam dengan tapak tangannya.

“Qis, terima kasih banyak-banyak...” Maryam merangkul tubuh Balqis kejap. Air matanya tumpah lagi. Balqis membalas pelukan Maryam perlahan.

“Inilah namanya sahabat. Seorang sahabat tidak akan membiarkan sahabatnya yang lain terkapai-kapai dalam kesusahan. Mar, saya sayangkan awak kerana Allah... Izinkan saya membantu awak...”

“Terima kasih Qis, terima kasih. Awak sahabat saya dunia akhirat. Saya sayangkan awak juga kerana Allah!”



Terkapai-kapai diri dihanyut arus waktu...
Kegelapan hati sering membuatku terkeliru...
Dalam menguji pergolakan emosi diri...
Tak siapa tahu ada yang memerhati...
Tuhan, terima kasih atas kurnia seorang sahabat itu...
Yang memaut tanganku saat aku hampir kelemasan...
Lemas dalam lautan jahiliyyah yang semakin memberat...


“BAGAIMANA KITA MAHU MERASA ‘IZZAH dengan Islam? Kalau kita nak rasa ‘izzah dengan Islam, kalau kita nak rasa mulia dengan Islam, kita kena ada asasnya, kita kena ada sumber. Kalau kita nak merasa mulia kita perlu ada sumber yang menyebabkan kita mulia. Apakah sumber yang boleh menyebabkan kita rasa mulia dengan Islam? Cuba kita lihat dalam surah ali-Imran ayat 85, dan barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama daripadanya, dan dia di akhirat... dan di akhirat Allah menjanjikan dia termasuk orang-orang yang rugi. Jadi orang-orang yang menerima Islam itu adalah orang-orang yang beruntung, orang-orang yang berjaya.”

Ustaz Zulhilmi memandang wajah-wajah tenang di hadapannya. Fathil Mu‘ammar, anak sulungnya yang baru saja menamatkan pengajian di Universiti Islam Antabangsa Malaysia duduk bersila di sebelah kanan sekali. Di sebelahnya pula ada Ahmad Naqiuddin, Izzat Irfan, Ameer Fikri, Izzul, Mus’ab dan Hafeez. Di bahagian belakang pula isterinya Safiyyah, dan anak perempuan bongsunya Nusaibah setia mendengar. Turut sama beberapa orang akhwat yang merupakan anak usrah kepada isterinya.

“Kemudian kita tengok pula dalam surah al-Baqarah ayat 132, Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”

“Kenapa ayat ini sepatutnya menjadikan kita rasa ‘izzah dengan Islam? Ada sesiapa yang nak jawab? Kalau salah tak apa. Biar salah hari ini, jangan salah di kemudian hari.” Ustaz Zulhilmi tersenyum manis. “Fathil?” Ustaz Zulhilmi memandang anak sulungnya. Fathil Mu’ammar membetulkan duduknya.

“Insyaallah, kalau kita tengok pada ayat 132 surah al-Baqarah ini, kita dapat lihat Nabi Ibrahim telah mengamanatkan kepada anak-anaknya, dan begitu juga Nabi Ya’qub juga berbuat perkara yang sama. Jika kita lihat, kedua insan ini adalah seorang Nabi. Jadi agama yang kita anuti ini adalah agama para Nabi. Jadi sepatutnya kita merasa bangga kerana sudah menganut dan mewarisi agama para Nabi.” Fathil memandang wajah sahabat-sahabat di sebelahnya sebelum memandang wajah ayahnya.

“Bagus Fathil. Ya, kita ini mewarisi agama para Nabi. Disebabkan itu kita perlu merasa ‘izzah dengan Islam. Selain itu kalau kita perhatikan dari ayat yang sama, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu. Allah telah memilih agama Islam ini untuk kita. Ini adalah merupakan satu penghormatan untuk kita. Seharusnya kita merasa bangga, merasa mulia dengan agama Islam yang merupakan agama para Nabi dan agama yang dipilih oleh Allah untuk kita.”

Wajah Ustaz Zulhilmi yang jernih itu kelihatan tenang. Wajahnya sedikit bujur dan dagunya dihiasi janggut nipis. Hidungnya sedikit mancung dan kulitnya agak cerah. Dia mengenakan serban dan berjubah dari warna polos. Wajah Nusaibah saling tak tumpah seperti Ustaz Zulhilmi. Berbeza sedikit dengan Fathil Mu’ammar yang banyak mengikut wajah Ummi Safiyyah. Empat orang lagi anak-anak Ustaz Zulhilmi dan Ummi Safiyyah masih menuntut di universiti dan sekolah berasrama penuh. Anak keduanya, ‘Aliyah Zinneerah sedang mengambil kursus perubatan di Jordan University of Science and Technology. Anak ketiganya, Saif Hamzah pula menuntut di Teesside University. Anaknya yang keempat, ‘Ainul Jannah berada di matrikulasi UIAM dan anaknya yang kelima, Alif Naufal belajar di Maahad Tahfiz di utara tanah air.

“Anak-anak yang dikasihi… Jika kita mengamalkan Islam, jika kita hidup dalam Islam, kita nampak keindahan Islam, baru kita akan rasa mulia, barulah kita rasa bangga dan kita akan rasa ‘izzah dengan Islam. Sesudah itu barulah kita boleh berkongsi dengan orang lain keindahan Islam itu sendiri. Seandainya kita tidak dapat merasai keindahan Islam, bagaimana kita mahu menyampaikan kepada orang lain tentang keindahan Islam. Analoginya, Fathil makan buah durian D24. Dia bagitau Izzat durian D24 tu sedap. Jadi bagaimana Izzat nak bagitau pada orang lain durian D24 itu sedap sedangkan dia tak pernah lagi makan durian D24? Begitulah dengan Islam itu. Hanya orang yang merasai keindahan Islam saja yang boleh bagitau orang lain tentang keindahan Islam sebab dia sendiri dah merasainya.”

“Jadi anak-anak, ayuh kita amalkan Islam secara keseluruhannya dalam hidup kita. Bukan Islam yang diambil secara separuh-separuh. Dengan itu kita akan merasai keindahan Islam dan halawatul iman, kemanisan iman…” Kata-kata akhir Ustaz Zulhilmi begitu menyentuh hati Maryam. ‘Amalkan Islam secara menyeluruh, kelak kamu akan merasai keindahan Islam dan kemanisan iman…’


“CUBA KITA TANYAKAN pada diri kita, siapakah Allah itu? Benarkah kita mengenalNya? Siapakah Allah di hati kita? Mar, dalam Islam, mengenal Allah itulah yang Rasulullah ajarkan dulu. Apabila kita mengenal Allah, pastinya ketaatan bukan lagi omongan kosong tapi dibuktikan dengan amalan sebagai tanda kepatuhan. Menjadi seorang muhsin bukannya mudah...” Balqis tersenyum manis namun tumpuannya tetap diberikan sepenuhnya kepada pemanduan.

Muhsin tu apa? Boleh Qis terangkan? Mar tak faham.” Dahi Maryam berkerut seribu.

“Ni bukan Muhsin yang kat pawagam tu ya!” Balqis tertawa kecil.

“Qis, janganlah main-main!” Maryam mengetap bibir, geram.

“Okey, Qis serius ni. Muhsin ni maksudnya orang yang berihsan. Rasulullah sendiri menjelaskan ihsan itu adalah apabila kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya walaupun kamu tidak melihatnya. Akan tetapi Allah melihat kamu. Jadi orang yang muhsin telah mencapai kenikmatan ibadah seolah-olah dia melihat Allah melihat ketika dia melakukannya.” Balqis memberhentikan keretanya apabila lampu trafik bertukar warna merah. Wajah Maryam dipandang sekilas.

“Mar, orang yang muhsin ini mereka sentiasa memperbaiki ibadatnya, tidak kira ibadat yang wajib ataupun sunat. Mereka melakukannya dengan penuh rasa gerun dan takut seolah-olah dia melihat Allah sedang memerhatikannya.” Sebuah senyuman indah dihadiahkan oleh Balqis buat Maryam. Tangan kanan Maryam diraih dan digenggam erat.

“Mar, Qis sayangkan Mar sepenuh hati. Qis yakin, Mar adalah permata di lembahan. Permata yang jika digilap akan menjadi permata yang bersinar indah. Cahaya dari permata itu boleh meruntun hati insan-insan lain yang tercari-cari cinta hakiki untuk sama-sama berada di jalan ini. Qis mahu kita sama-sama melangkah ke Raudhatul Jannah. Saat salah seorang dari kita tersungkur, yang seorang lagi akan memaut dan membantu untuk bangkit kembali. Janji?" Balqis angkat kening sebelah.

“Eh, ni apa gaya ni? Tak comel langsung.” Maryam tertawa melihat afal Balqis. Sifat keanak-anakannya masih menebal tatkala bersama Maryam.

“Janjilah…” Balqis mula merengek manja.

“Ya, Mar janji sebab Mar sayang banget sama kamu!” Maryam tertawa senang.

“Eh, ni sejak bila pula jadi orang seberang ni? Ke ada hati nak cari orang sana?” Balqis sudah terkekek-kekek ketawa.

“Amboi, bukan main dia kenakan Mar ya. Ni nak kena cubit ni...” Maryam pura-pura mencubit Balqis.

“Aduh, sejak bila pula ada ketam dalam kereta Qis ni? Mana Mar belajar cubit-cubit orang ni hah?” Balqis menggawang-gawangkan tangannya mahu menepis tangan Maryam yang mahu menyakatnya. Dan mereka akhirnya tertawa riang.


AKU MASIH INGAT PERBUALANKU dan Ummi Safiyyah tempohari. Aku mendengar darinya kisah seorang insan yang berkelana mencari cinta. Tentu saja cinta pada yang selayaknya, Allah. Sejarah hidupku dan dia mungkin berbeza tapi akan kuambil semangat dan ketekunannya untuk mengenal Dia dan merasai nikmat dalam Rahman dan RahimNya. Mutiara-mutiara berharga yang dikongsikan oleh Ustaz Zulhilmi juga takkan mungkin aku sia-siakan.

Dan pesan-pesan dari Balqis akan dipahat kukuh di dalam hati. Duhai hati, adakah damai itu sudah bertandang? Aku meletakkan tangan di dada sebelah kiri dan aku dapat merasakan degupan jantungku. Ya, jantung ini masih berdegup. Jantung ini masih patuh pada Tuhannya selama ini sehingga ke detik ini. Tetapi bagaimana dengan aku? Ya Allah, sesungguhnya hati ini ciptaanMu... Sesungguhnya hati ini milikMu... Sesungguhnya hati ini di bawah kekuasaanMu... Dan Engkaulah yang berkuasa membolak balikkan hati ini... Ya Allah, sehitam-hitam hatiku ini, Kau putihkanlah ya Allah... Sekotor-kotor hatiku ini Kau sucikanlah ya Allah... Ya Muhaimeen, maafkanlah bila hati ini masih belum sempurna menyintaiMu... Bantulah aku untuk meletakkan diriMu di hati ini. Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan beribadah kepadaMu..Ya Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu dan ketaatan terhadapMu…




Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

(Opick – Rapuh)




4 comments:

  1. humm..sungguh.. tetiba ana teringt ngn umie..dn sepanjang mbca..ana tbyg ana dtmpt maryam :( teruskan ukht..ana menanti utk bab yg seterusnya..

    mksudny nt mmpu mbw pembaca msuk kedlm penympaian ini.. :)

    ReplyDelete
  2. syukran atas komen yg diberikan...insyaallah moga Allah permudahkn urusan ana...

    p/s:sepanjang menulis, ana cuba meletakkan diri ana dlm diri watak itu sendiri...

    ReplyDelete
  3. good..mencari masa terluang utk baca yg lain huhu~

    ReplyDelete