Thursday, April 2, 2009

Tak Ada Maknanya! (2)

"Kak…Kak Fiqa!" kedengaran namaku dipanggil. Siapalah pulak yang cari aku petang-petang ni? Kacau daun betullah…aku baru nak layan Blues…

"Masuklah…pintu tak kunci!" Laungku…hehehe…malas nak bangun buka pintu. Pintu bilikku dikuak perlahan. Seraut wajah comel menjenguk…

"Assalamualaikum…boleh Sarah masuk?" sambil tersenyum Sarah memohon keizinan. Masuklah dik oii…tadi kan akak dah suruh masuk.

"Waalaikumussalam…masuklah. Sarah rupanya, akak ingatkan siapalah tadi. Dari mana ni?" soalku ingin tahu.

"Dari rumah, saje jalan-jalan kat sini. Bosanlah Kak Fiqa, Sarah sorang je kat rumah. Abang Udin sibuk kat ladang. Abang tu selalu sangat sibuk, kalah PM…sampai Sarah ni pun dia lupa…" sungut gadis comel itu sambil mengambil tempat di sebelahku.

"Ish, tak baik Sarah cakap macam tu. Abang Udin buat tu semua kan untuk Sarah, buah hati pengarang jantung dia ni…betul tak?" Kesian pulak aku tengok Si Sarah ni. Ye la, Udin sorang je ahli keluarga dia, tapi selalu sibuk memanjang kat ladang kelapa sawit dan kilang minyak masak yang baru ditubuhkan.

"Buah hati pengarang jantung Abang Udin bukan Sarahlah akak…tapi…Kak Fiqa la…" Jawapan Sarah buat jantung aku terhenti seketika. Apa budak kecik ni merepek? Aku…buah hati Si Udin tu? Aku salah dengar ke?

"Apa Sarah?" soalku lagi inginkan kepastian.

"Tak…Sarah cakap, akaklah buah hati Abang Udin…bukan Sarah. Abang selalu cakap akak ni cantik…baik…" lancar sahaja ayat itu keluar dari bibir mugil Sarah.

"Eh, takda…takda…jangan percaya sangat cakap abang Sarah tu. Dia tu kadang-kadang suka cakap merepek-meraban je…hehehe…" siot ko Udin, jaga la ko nanti!

"Kenapa pulak? Akak tak sudi ke jadi kakak ipar Sarah? Sarah takde kakak…mak dan ayah pun dah lama meninggal dunia. Yang Sarah ada kat dunia ni cuma Abang Udin je…" sayu Sarah bersuara. Erk…alamak, kecik hati lak budak ni. Macam mana nak jawab ni? Bukan tak sudi, tapi masalahnya abang awak tu cukup menjengkelkan akak, selalu sakitkan hati akak…sampaikan cuma ada benci di hati ni untuk insan yang bernama Amiruddin!

"Bukan akak tak sudilah Sarah, tapi akak ni tak layak untuk Abang Udin. Lagipun akak tak ready lagilah nak kahwin. Wah, makin cantiklah Sarah sekarang ni akak tengok!" Saje je tukar topik.

"Mana ada…akak ni buat Sarah malu je. Tapikan kak…cantik-cantik Sarah, cantik lagi akak."

"Ish, mana ada. Biasa je…"

"Kak…Sarah ni bukan apa. Abang Udin tu selalu sangat sibuk uruskan ladang kelapa sawit peninggalan arwah ayah. Sekarang ni pulak abang baru buka kilang minyak masak. Sarah takut abang jatuh sakit je…"

Hai, Udin…Udin. Itulah, tak habis-habis dengan ladang dan kilang. Setiap masa nak menyetelkan hal kat sana sampai Sarah dan kebajikan diri sendiri pun terabai. Apa pun dia tak boleh dipersalahkan sebab itu dah jadi tanggungjawab dia sebagai pewaris ladang arwah ayah dia. Dalam benci-benci aku pada dia, aku cukup kagum dengan sikap rajin dan ambil berat dia. Itu aku tak nafikan. Dia juga bertanggungjawab kepada satu-satunya keluarga yang dia ada iaitu Sarah, adik perempuan kesayangannya…

Kerana terlalu sayangkan Sarah dan khuatir kebajikan Sarah terabai, dia sanggup melupakan cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran di menara gading dan mengambil keputusan untuk mengusahakan ladang kelapa sawit peninggalan arwah ayahnya, Pakcik Razak.

Dan kerana sikap penyayang yang ada di dalam dirinya itulah yang membuatkan ramai orang sukakan dia terutamanya anak-anak dara kampung ni. Termasuklah sekali dengan mak aku. Tapi kalau ada orang nak bagi Si Udin ni free kat aku, sumpah aku tak nak! Hohoho…tak mungkin aku akan pilih dia sebagai teman hidup aku. Takda maknanya…sebab aku tau sangat-sangat perangai dia. Nama pun kami ni membesar sama-sama, sekolah sama-sama, zaman remaja sama-sama. Tapi…


* * * * * * * * * * * *

6 tahun dahulu…



"Assalamualaikum! Mak Long! Mak Long!"

"Waalaikumussalam…hah, kenapa dengan kamu ni Udin? Macam dikejar hantu je sampai tak cukup tanah kamu berlari.."

"F…Fi..Fiqa ada tak Mak Long? U..Udin nak jumpa dia sekejap. Ada hal penting ni…"

"Kamu tak nak masuk dulu ke?" soal emak.

"Takpelah Mak Long, saya duduk kat pangkin bawah pokok tu jelah…dapat angin sikit.."balas Udin sambil tersengih.

"Ha, yelah. Kamu tunggu sekejap ye, Mak Long pergi panggil Fiqa." Kata emak lantas masuk ke dalam rumah.


Emm…ada apa budak tiga suku ni datang rumah aku petang-petang ni?

"Hah, awak…ada apa datang rumah saya ni? Nak cari gaduh lagi ke?" soalku malas.

"Kot ye pun bagi la salam dulu…ni tak, terus sembur saya. Assalamualaikum…" aduh…terkena lak aku. Camne boleh terlupa nak bagi salam ni?

"Waalaikumussalam…lupa la…"

"Muda-muda lagi takkan dah nyanyuk kot? Hehehe…"

"Eh, kalau awak datang sini cuma nak sakitkan hati saya, lebih baik awak tak payah datang tau! Apa punya perangai entah…datang rumah orang cari gaduh…"

"Marah ke sayang? Ala, abang gurau je tadi..takkan marah kot?" Sayang? Abang? Yerkk…nak muntah aku.

"Nak kena terajang ke? Cepatla cakap apa hal yang penting sangat tu?"

"Takda…saya nak melamar awak jadi suri dalam hidup saya…sudikah awak?" Hish…budak ni nak kena ke? Tak pernah nak serius.

"Amiruddin!!!" jeritku.

"Ops…okay…okay…saya main-main je. Ni, saya dah tawaran sambung belajar kat UTM kursus Civil Engineering…awak dapat kat mana?"

"Ye ke? Tahniah! Saya pun dah dapat gak, kat USM kursus Sains Biologi…" Hehehe…alhamdulillah impian aku nak sambung belajar kat USM dah tercapai.

"Laa…kenapa jauh sangat kat Pulau Pinang? Kenapa tak kat UTM je?"

"Yang awak sibuk sangat suruh saya belajar kat UTM tu kenapa? Suka hati saya la…"

"Takda la…kalau kita belajar kat tempat yang sama, bolehlah saya tolong Mak Long tengok-tengokkan anak dara kesayangan dia ni. Ni kalau dah belajar jauh-jauh, saya takut awak rindu pulak kat saya…hehehe…"

"Rindu kat awak? Takda maknanya tau!" Hii…dia ni tak habis-habis masuk bakul bocor…sebab tu dia boleh angkat sendiri bakul tu.

"Eleh, takda maknanya konon. Awak tak ingat ke dulu masa kita kecik-kecik dulu… awak selalu merengek kat mak awak nak tidur kat rumah saya. Sayang sangat kat saya, sampai tak nak berpisah, tak nak balik rumah…" Udin tersenyum nakal.

Ada saja modal dia nak menyakitkan hati aku. Memanglah dulu aku selalu menangis nak tidur kat rumah Pakcik Razak dengan Mak Yam, tapi bukan sebab budak tiga suku ni…tapi sebab aku terlalu rapat dengan kakak Udin, Kak Alya. Sekarang Kak Alya belajar di UKM dalam bidang perubatan. Setahun lagi Kak Alya bakal bergelar doktor. Aku turut tumpang bangga kerana ada anak kampung ini yang berjaya menjadi seorang doktor.

"Eh, saya nak tidur kat rumah awak bukan sebab awak tau, tapi sebab Kak Alya. Jangan nak perasan ye…tak malu!!!" balasku sambil menjelirkan lidah. Tiba-tiba kulihat Abang Han berlari menuju ke rumahku. Kelihatannya seperti ada kecemasan.

"Din…Din…abang harap kau banyak-banyak bersabar ye! Mak, ayah dan Kak Alya kau terlibat dalam kemalangan kat Jasin…" tersekat-sekat Abang Han berbicara. Bagaikan halilintar membelah bumi berita itu kedengaran di cuping telingaku. Lantas kupandang Udin.

"Apa? Kemalangan? Mak, ayah dengan Kak Alya macamana?"

"Sabar ye Udin, mereka meninggal di tempat kejadian. Kereta ayah kamu dilanggar lori treler dari arah bertentangan. Jenazah dah dihantar ke Hospital Jasin." Abang Han mengusap perlahan bahu Udin.

"Ya Allah, Mak! Ayah! Kak Alya!" Udin terjelopok di tepi pangkin.

"Sabar Din, sabar ye…banyak-banyak mengucap…" pujukku perlahan.

"Mak, ayah dan kakak aku dah takda Fiqa…kenapa diorang tinggalkan aku dan Sarah? Kenapa?" Esakan Udin bertukar menjadi tangisan. Apa yang mampu aku lakukan? Aku hanya mampu memujuk. Ya…memujuk. Ya Allah, kenapa khabar buruk ini datang bersama khabar gembira? Tangisan Udin terus berpanjangan dan aku turut terjelopok di sisi Udin. Semuanya bagaikan mimpi, baru semalam aku berbicara dengan Mak Yam, saat ini dia sudah pergi menghadap Ilahi. Namun kuasa Tuhan tiada siapa yang mampu menahannya kerana setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati…


* * * * * * * * * * * *


Hari yang dilalui kini tak seindah semalam
Bintang yang bersinar sudah tiada lagi
Mentari yang memancar kini semakin suram
Bayangan wajahmu sudah tiada lagi

Apa yang harus ditangisi
Penyesalan sudah tiada gunanya
Biar air mata dah aku tumpahkan
Tak bisa mengundur masa

Kini bonda tiada lagi
Apa yang ada hanya secebis kenangan
Di tabir seribu penyesalan
Kerana belum sempat kumenabur budi
Kau pergi menghadap Ilahi

Oh bonda…ampunilah segala dosa anakmu ini
Bukan sengaja aku mengasarimu
Bukan jua inginku sakiti hatimu
Apa kan daya diri ini tak berdaya
Menahan gelora membara
Akhirnya kau terseksa sendiri

Bonda andai kupunya waktu
Ingin kuabadikan diri kepadamu
Kerana kasih yang kau curahkan
Belum tentu terbalas dengan curahan budi yang kusiramkan

----------------------------------------

(Pusara Bonda ~ Wildan)

No comments:

Post a Comment