Tuesday, March 31, 2009

KEMBARA CINTA (1)



-Inikah TakdirNYA?-

“HELLO, ASSALAMUALAIKUM…” datar Wardah menuturkan salam.

“Waalaikumussalam. Nak cakap dengan siapa?” Suara di hujung talian kedengaran agak lemah. Baru bangun tidur ke?

“Abang Lan kan?” Wardah bertanya dengan ceria.

Hmm... siapa ni” Suara itu menggumam malas.

“Wawa la. Syahid ke ni?” Wardah menggeleng. Apalah nak jadi dengan abang aku ni? Matahari dah naik segalah, boleh pulak dia 'syahid' lagi?

“Oh...Wawa. Abang penat sangat la. Malam tadi tidur lewat, ada mesyuarat peringkat senior, pasal latihan kat Kem Terendak Melaka cuti semester ni. Lepas Subuh tadi abang tidur semula. Ada apa hal telefon abang ni?” Abang Lan menggosok mata dengan jari telunjuk.

“Abang ada nak ke mana-mana tak hari ni?”

“Tak ada kot. Kenapa?” Abang Lan menggumam sambil menggosok matanya yang kelat.

“Cantik!!! Wawa nak pinjam basikal boleh tak? Nak pergi jumpa kawan.”

“Pakai je la. Kalau abang nak keluar nanti, abang pinjam motor Tuan Ameerul.”

“Okey, terima kasih daun keladi, lain kali Wawa pinjam lagi ye?” Wardah tergelak kecil.

“Sama-sama. Baik-baik keluar nanti. Ni nak jumpa siapa ni? Nak jumpa kat mana?” bertubi-tubi solan itu keluar dari bibir Abang Lan.

“Ha, tu dah mula la keluar gaya Hitler dia tu. Wawa nak jumpa Dina dengan Alya kat tasik dekat dengan Dataran Canselori. Lepas tu kitorang nak pergi makan tengahari sama-sama. Puas hati?” Kedengaran tawa Abang Lan di hujung talian.

“Tak kira la Wawa nak kata abang ni macam Hiltler ke, George W. Bush ke, whatever! Lepas jumpa kawan terus balik. Jangan nak merayau tak tentu hala sorang-sorang. Faham tak?”

“Tak ada modal ke tiru trademark Wawa?”

“Ikut suka abang la, ingat pesan abang tadi!”

“Baik, patik menurut perintah tuanku!” Wardah menarik muka empat belas. Adeii, susah betul dapat abang yang suka tiru gaya Hitler ni! Sesuka hati sesedap oren semasam sunquic dia je nak bagi arahan yang tak masuk dalam silibus pegawai kadet peringkat junior. Huh! Tiba-tiba kedengaran tawa Abang Lan meletus di hujung talian.

“Apasal ketawa?” Wardah kehairanan.

“Tak ada apa la. Abang ketawa sebab terbayang muka Wawa sekarang ni. Confirm mulut tu tengah memuncung macam itik, boleh buat gantung baju lagi!” Tawa Abang Lan masih tak habis. Seronoklah tu dapat mengenakan aku! Di hujung talian Wardah mencebik dan menjelirkan lidah.

Whatever! Pergilah sambung 'syahid' tu lagi. Wawa dah lambat ni. Assalamualaikum.” Talian dimatikan tanpa mendengar salamnya bersambut.

“Waalaikumussalam...” Abang Lan tersengih sendiri. Merajuk la tu! Dia menggelengkan kepala. Gagang telefon diletakkan kembali, perlahan.


LANGKAH KAKI diatur kemas ke musolla blok C. Basikal Abang Lan setia di tempat biasa, kaki lima. Beg sandang di letakkan ke dalam bakul basikal. Penuh cermat, Wardah menuntun basikal Abang Lan sehingga ke pintu pagar Kolej Kediaman Kenanga. Jalan menuju ke pintu pagar yang sedikit berbukit membuatkan Wardah lebih selesa menuntun daripada menunggang basikal itu.

“Nak ke mana Wardah?” Satu suara menyapa.

“Eh, Tuan Kamarul. Nak jumpa kawan sekejap. Ada hal sikit.” Wardah menjawab dengan penuh hormat. Kapten Kamarul merupakan Pegawai Latih Peringkat Junior, iaitu pegawai yang bertanggungjawab untuk semua pegawai kadet peringkat junior termasuk Wardah.

“Hmm... baik-baik jalan tu.” Pesan Kapten Kamarul.

“Saya tak berjalan tuan, saya naik basikal...” jawab Wardah sambil tersengih.

“Ada-ada sajalah kamu ni Wardah. Kamu ni sepatutnya ambil kursus undang-undang, boleh jadi lawyer.” Kapten Kamarul tersenyum nipis.

“Kenapa pulak jadi lawyer tuan?” soal Wardah kebingungan. Digaru kepalanya yang tidak gatal.

“Ye la, loyar buruk!” Tawa Kapten Kamarul meletus. Wardah turut tertawa.

“Saya pulak yang terkena semula.” Wardah tersenyum nipis.

“Nasib kamulah Wardah. Okeylah, saya nak ke markas dulu.” Wardah memerhatikan Kapten Kamarul berlalu.

Setelah kelibat Kapten Kamarul hilang dari pandangan, Wardah memulakan kayuhannya menuju ke tepi tasik berhadapan pusat sukan. Dia sudah berjanji untuk bertemu Alya dan Dina di sana. Akhirnya dia tiba di tempat yang dijanjikan. Setelah meletakkan basikal di bawah pokok, lantas dia melabuhkan punggung, duduk menghadap tasik. Anak matanya dihalakan ke tengah tasik.

Lihatlah semua ini sepuas hatimu Wardah! Lihatlah, kerana semua ini akan kau tinggalkan tak lama lagi. Arghh!!! Kenapa aku harus begini? Ke mana hilangnya Syauqah Wardah yang cekal hatinya? Adakah tercicir di Laut China Selatan yang memisahkan Bumi Kenyalang ini dengan Tanah Semenanjung? Ya Allah, kenapa aku yang Kau pilih untuk menghadapi ujian ini? Mata terasa seakan berpasir. Dan akhirnya manik-manik jernih mengalir ke pipi. Wardah dihanyutkan perasaan sendiri.

Derapan langkah kaki yang kian menghampir membuatkan Wardah tersentak. Pantas, air mata di pipi dikesat dengan kedua belah tangan.

“Assalamualaikum...” Satu suara menegur dari belakang.

“Waalaikumussalam...” Wardah teragak-agak berpaling. Kelihatan Dina dan Alya berdiri di belakang dengan senyuman terukir di bibir.

“Dah lama sampai?” Soal Alya sebelum mengambil tempat di sebelah kanan Wardah.

“Lama la jugak, siap bermimpi Prince Charming aku turun dari kayangan...” selamba Wardah menuturkan. Bibir Dina mengoyak sengih.

“Apa hal dengan muka kau ni Wawa? Sembap semacam je aku tengok. Kau menangis ke?” Soalan yang meluncur dari bibir Dina membuatkan Wardah terkesima.

“Err... mana ada. Aku tak cukup tidur la. Dekat pukul 4 pagi baru aku tidur.” Wardah mencipta alasan. Maafkan aku teman, aku bukan sengaja nak menipu tapi...

“Memang sesuai sangatlah budak-budak batch kau dalam PALAPES tu panggil kau Si-Panda. Hitam keliling mata tu dah serupa sangat macam panda!” Dina dah mula keluar gaya mak tiri Bawang Putih. Wardah tersengih nakal.

“Erm... tadi kata nak makan kan? Kita nak makan kat mana ni? Warung 2000 atau KFC?” Kening Alya terangkat sebelah merenung Wardah dan Dina. KFC atau Keranjang Food Court merupakan kafeteria yang menjadi tumpuan siswa dan siswi UNIMAS kerana harganya yang berpatutan.

“Wawa?” Dina memandang Wardah. Keningnya terangkat bertanya

“Aku tiba-tiba rasa macam nak pekena ais jagung...” Wardah bersuara perlahan.

“Okey, kalau macam tu kita makan tengahari kat Warung 2000. Hari ni aku belanja korang berdua!” Dina mengangkat kening dua kali.

Oyeah... ni yang sayang lebih kat kau ni!” Alya mengangkat kedua belah tangan ingin memeluk Dina. Wardah menggeleng melihat telatah Alya. Ketawa mereka bertiga pecah.


WARDAH MELETAKKAN SUDU DAN GARPU di tangan perlahan. Wajah Dina dan Alya di hadapannya dipandang, lama. Ada keluhan kecil kedengaran.

“Kenapa?” Dina memandang Wardah penuh tanda tanya. Entah mengapa hatinya kuat mengatakan sahabat di depannya ini ada menyembunyikan sesuatu.

“Hmm... entah bila lagi aku dapat makan dengan korang macam ni, bertiga.”

“Kenapa kau cakap macam tu? Kalau kau nak, hari-hari pun boleh.” Alya turut memandang wajah Wardah, meminta penjelasan.

“Aku ada perkara penting nak bagitau korang berdua. Aku harap korang tak terkejut dengan keputusan aku ni.” Wardah bersuara rendah. Dina dan Alya masih setia menanti penjelasan dari Wardah.

“Mungkin ini kali terakhir kita dapat makan sama-sama macam ni.”

“Maksud kau?” Dina mencelah.

“Aku dah buat keputusan nak berhenti belajar.” Dengan tenang Wardah menuturkan.

“Apa?” Dina dan Alya kaget! Tidak pernah mereka menjangkakan perkara ini akan berlaku. Perlahan, Alya menggenggam tangan Wardah.

“Wawa, cuba kau terangkan satu persatu. Aku dah lama syak kau ada sembunyikan sesuatu dari pengetahuan kami. Walaupun kau selalu mengelak bila kami tanya, tapi mata kau tak boleh nak menipu aku. Kita bersahabat bukan baru sehari dua!” Dina mendengus.

Wardah merasakan kelopak matanya berpasir. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan! Andai ini takdir-MU, pinjamkanlah aku sedikit kekuatan untuk menjelaskan hal yang sebenar kepada sahabat-sahabatku ini...

“Dina... Alya... maafkan aku...” tangan Alya dan Dina digenggam erat.

“Korang berdua tahukan GPA aku untuk semester lepas teruk? Dan semester ni aku kena ambik subjek-subjek elektif je...”

“Tapi takkan hanya disebabkan itu kau nak berhenti belajar? Nak tinggalkan kami?” Tajam suara Dina keluar.

“Aku kena mengulang semester, dan itu juga bermakna duit pinjaman aku akan ditahan. Macamana aku nak hidup kat sini? Aku kena bayar yuran pengajian, perbelanjaan harian... Elaun PALAPES aku tak cukup nak tampung semua tu. Aku tak nak susahkan ayah dan ibu. Cukuplah diorang bersusah payah untuk aku selama ni.” Empangan air mata yang ditahan sedari tadi pecah jua akhirnya. Tangisan Wardah berlagu pilu.

Shh... sabarlah Wardah. Insyaallah ada jalan penyelesaiannya.” Bisik Alya memujuk.

“Aku dah tak nampak mana-mana jalan pun. Aku dah berusaha sedaya-upaya selama ni, tapi aku tak tau di mana silapnya sampai jadi macam ni. Aku dapat kursus yang bukan saja aku tak minat, malah luar dari bidang aku selama ni. Dan aku tak pernah bermimpi nak belajar kat UNIMAS ni. Aku dah cuba pujuk hati aku untuk terima semua ni, mungkin rezeki aku kat sini, tapi...” Wardah kehilangan bicara.

“Aku dah cuba sedaya upaya belajar, tanamkan rasa cinta dalam bidang ni Dina... Alya... t..tt...tapi nasib tetap tak menyebelahi aku. Mungkin inilah takdir-Nya, tempat aku bukan di sini...” Wardah menyeka air mata di pipi dengan belakang tangan. Alya mengusap lembut belakangnya. Masing-masing membisu. Suasana diselubungi sepi.

“Abang Lan dah tau?” Dina bersuara memecah kesepian. Wardah menggeleng perlahan. Dina melepaskan keluhan berat.

La tahzan... innallaha ma‛ana... Ingat kata-kata Akh Adam dalam tamrin yang lepas? Dalam surah ali-Imran ayat 139 Allah telah berfirman, dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman... Allah sedang mengujimu sahabat...” Alya berbisik lembut.




[bersambung]

2 comments:

  1. adik suke bace kisah wardah nie mase mule²
    ayoo perangai die..hihi..perangai keanak-anakan tu masih ade..best3!bile bace..belek² hurmm seakan perangai adik jugak yg suke sakat org.keh3!tapi adik baik skit la..wardah lagi nakal.kan akak kan?hihi

    ReplyDelete
  2. thanks dik sbb komen...maybe ramai org punyer sikap tu cuma ada kalanya tak ditunjukkn pd semua..mybe pd org2 ttentu...nakal skit xpe... =)

    ReplyDelete