Tuesday, March 31, 2009

KEMBARA CINTA (3)


-Mentari Hidupku-

MATANYA MERENUNG kosong ke hadapan. Hampir sebulan dia berada di kampung. Wardah menghela nafas berat. Elok sangat la dengan keadaan aku sekarang ni. Dah jadi tauke anggur tak bertauliah. Wardah menengadah langit. Dia mengeluh perlahan. Bingkai gambar di meja studinya dipandang lama. Kini yang tinggal hanya potret kaku menjadi penawar rindu. Dina, Alya…aku rindu kat korang. Sebelah tangannya menongkat dagu. Apa aku nak buat lepas ni?

“Melamun.”

Wardah tersentak.Dia mengangkat muka. Ibu menggeleng kepala merenungnya.

“Ibu… Bila ibu masuk?” Ibu melabuhkan punggung di atas katil milik anak gadis tunggalnya.

“Dah lama ibu masuk. Apa yang kakak fikirkan sampai ibu masuk pun kakak tak sedar?” Ibu bertanya terus.

“Tak ada apa la ibu. Kakak tengah fikir nak buat apa lepas ni…” Datar Warah menuturkannya.

“Kakak tak nak sambung belajar lagi? Tak nak cuba apply UiTM?” Ibu bertanya lembut. Wardah membisu seketika. Pandangannya dilontar ke luar tingkap bilik.

“Kakak…” Ibu menggenggam erat tangan Wardah. Teragak-agak Wardah berpaling memandang wajah ibu. Dia menghela nafas panjang.

“Ibu, tentang hal sambung belajar ni nantilah dulu. Kakak tak nak fikir lagi. Kakak rasa kakak nak kerja buat sementara waktu. Ibu jangan bimbang, kakak akan sambung belajar lagi. Tapi bila waktunya, kakak tak tau. Kakak nak tenangkan fikiran dulu.” Wardah bersuara perlahan.

“Terpulanglah pada kakak untuk buat keputusan. Ibu tak nak memaksa. Kakak buatlah apa yang terbaik untuk diri kakak.” Ibu tersenyum nipis dan menepuk perlahan bahu Wardah. “Ibu keluar dulu.”

“Terima kasih ibu.” Wardah senyum tawar. Dia tahu ibu kecewa apabila dia mengambil keputusan untuk berhenti belajar biarpun ibu tak pernah mengucapkannya. Dan dia pasti ibu terluka dengan apa yang terjadi.

Entah kenapa mata panas tiba-tiba. Allah, kenapa tiba-tiba rasa nak meleleh ni… Cukuplah tu, Wardah! Banyak mana pun air mata yang terhambur takkan bisa memutarkan masa. Ibu, maafkan kakak… Kakak bersalah pada ibu…

Wardah gagal menahan empangan air matanya dari pecah. Akhirnya dia menghamburkan air matanya sepuas hati. *The Moment tiba-tiba berlagu dari telefon bimbit menandakan ada mesej diterima.

“Abang Lan…”

…dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar… (al-Baqarah : 155)
- Moga dirimu terus kuat untuk menghadapi setiap ujian dari-Nya kerana ujian itu tanda kasih sayang-Nya.



Wardah menggigit bibir bawah. Dia mengeluh perlahan. Abang Lan…Wawa rasa macam dah tak mampu nak hadapi ujian demi ujian ni. Ya Allah, betapa lemahnya aku. Bantulah diriku ya Allah… Wardah meraup mukanya dengan kedua belah tapak tangan. Masih jelas terlakar pada kanvas memorinya saat dia bertemu Abang Lan buat kali terakhir sebelum dia meninggalkan bumi kenyalang.


“WAWA, HIDUP kita tak ubah macam roda. Ada kalanya kita di atas dan ada kalanya kita di bawah. Dan hidup juga merupakan satu perjalanan. Cuba Wawa bayangkan, andai tiba-tiba ada seketul batu besar di tengah jalan yang menghalang perjalanan Wawa. Apa yang Wawa nak buat? Alihkan batu tu? Cari jalan lain? Patah balik ke permulaan jalan? Atau, tunggu je kat situ sampai keajaiban berlaku?” Datar Abang Lan bertanya.

Wardah diam membisu. Lidahnya terasa kelu untuk menjawab soalan yang diajukan Abang Lan. Entah mengapa, setiap kali berbicara dengan Abang Lan, acapkali dia kehilangan kata-kata. Dia sendiri tidak tahu di mana tercicir kepetahannya sebagai pemidato sekolah.

Abang Lan menggeleng perlahan. Bibirnya menguntum senyuman tawar. “Wawa, terpulang pada diri Wawa untuk pilih cara yang mana satu. Tapi Wawa akan melakukan kesilapan besar andai Wawa memilih untuk menanti sahaja sampai keajaiban berlaku. Abang tau Wawa seorang yang cukup tabah kerana itu Allah berikan ujian ini untuk Wawa dan bukannya abang ataupun orang lain. Abang harap Wawa akan terus tabah dan kuat sebab abang tau adik abang ni boleh bangkit semula.”

“Abang, Wawa tak tau nak cakap apa. Tapi yang pasti Wawa nak minta maaf sebab Wawa rahsiakan perkara ni dari abang. Wawa tak nak meraih simpati dari sesiapapun.” Perasaan sayu bercampur hiba menyerbu ke benaknya.

“Wawa, ini bukan soal simpati. Tapi… Arghh!!!” Ada nada kesal yang kedengaran. Suasana mula diselubungi sepi. Masing-masing melayani perasaan sendiri.

“Biarlah…” tiba-tiba Wardah memecah suasana. Wajah Abang Lan di hadapannya dipandang dengan perasaan bercampur baur.

“Biarlah Wawa tentukan hala tuju Wawa sendiri. Mungkin ini pilihan yang terbaik. Yang pastinya, Wawa takkan tunggu keajaiban berlaku. Wawa akan berusaha sehabis mungkin untuk menganyam cita-cita menjadi kenyataan. Biarlah walau agak lewat berbanding teman-teman yang lain. Sekurang-kurangnya Wawa dapat pelajari ilmu kehidupan, ilmu yang takkan Wawa dapat dalam dewan kuliah. Wawa harapkan doa dari semua.” Bicara Wardah mati di situ.


SUARA KANAK-KANAK berkejaran di luar rumah mengembalikan Wardah ke alam nyata, membiarkan lamunannya tergantung tanpa tali. Luluh terasa di jiwa apabila mengambil kembali kenangan lalu. Wardah merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Matanya dibiarkan menerawang ke seluruh bilik.

The Moment berlagu lagi dari telefon bimbit. Entah mesej dari siapa kali ini. Yanie? Apa gerangannya tiba-tiba Yanie menghubungiku?

Salam alayk. Wawa, ada jawatan kosong sebagai guru tadika. Berminat tak? Tapi bukan kat sini, kat Pahang.


Alhamdulillah, akhirnya penantianku tak sia-sia. Wardah bingkas bangun dan menuju ke tingkap. Dipandangnya matahari senja dengan senyuman manis terukir di bibir. Wardah menoleh hari-hari kelmarin yang telah dilewati berlorongkan kesuraman. Moga mentari senja yang indah ini akan seindah dan secerah mentari hidupku.

Ya Allah, untuk hari esok, aku pohon kekuatan, ketabahan untuk terus berjuang untuk hidup, agar aku dapat terus memberi. Dan aku pinta sungguh-sungguh agar hidayah yang datang tidak pergi menemani kelana di daerah sementara. Ameen ya Allah, Ameen ya Rahman, Ameen ya Rahim.




* Kitaro

[bersambung…]

No comments:

Post a Comment