Thursday, February 26, 2009

Pualam Di Pinggiran



Langit kirmizi di jihat barat direnungnya lama. ‘Subhanallah, indahnya ciptaan-MU!’ desis Maryam di dalam hati. Lama dia berteleku di situ. Entah mengapa, hatinya terasa bagaikan ditusuk sembilu tajam. Setitis demi setitis air jernih mengalir dari pelupuk matanya. Duhai hati, sabarlah dikau! Duhai kesedihan, pergilah... usah kau bermukim di ruangan fuadku!

“Maryam, kenapa duduk seorang diri di sini?” terasa bahunya disentuh lembut. Gesit dia menoleh.

“Balqis...” ujar Maryam separuh berbisik.

“Maryam, kenapa ni?” ada riak cemas dari raut wajah gadis manis bertudung litup itu. Balqis melabuhkan punggungnya bersebelahan Maryam.

Ukhti Maryam Ibtihal, kenapa dengan anti ni? Kenapa anti menangis?” soal Balqis sambil mengusap lembut belakang Maryam.

“Balqis...” Maryam kehilangan bicara. Tangisannya berlagu pilu. Perlahan, Balqis merangkul tubuhnya.

“Bersabarlah ukhti... Bersabarlah dengan sebaik-baik kesabaran...” suara pujukan Balqis kedengan begitu lembut di cuping pendengaran. Ya, Maryam masih ingat. Itulah ayat cinta DIA dalam al-Ma’arij ayat 5. Satu konotasi yang begitu membujuk atma. Namun dia masih gagal mengusir kesedihan yang bermukim di ruangan fuad. Masih lagi terngiang-ngiang suara itu. Suara yang menjadi asbab fuadnya menyanyikan lagu kesedihan.

“Izzat, kenapa anta tolak cadangan Akh Mu’ammar? Ana rasa tak ada celanya kalau anta digandingkan dengan Maryam Ibtihal. Dia bukan seperti gadis lain. Dia gadis yang telah ditarbiyyah. Atau anta ada pilihan lain?” soal Naqiuddin.

“Aqi, ini bukan soal ana dah punya pilihan lain atau tidak. Ana bukan sengaja nak tolak cadangan Akh Mu’ammar tu. Tapi hati ana ni mengatakan yang Maryam Ibtihal tak sesuai dengan ana. Dia bukannya datang dari keluarga yang ditarbiyyah. Dan dia pun masih baru lagi dalam tarbiyyah. Masih banyak lagi kelemahan dia yang ana lihat. Dia... arghh!!! Dia memang tak sesuai untuk ana. Asif jiddan...” Izzat meraup wajahnya dengan kedua belah tapak tangan.

“Apa masalahnya kalau dia bukan dari keluarga yang ditarbiyyah? Keluarga yang punya tarbiyyah pun asalnya tak punya tarbiyyah kan? Disinilah peranan anta sebagai seorang da'ie untuk berdakwah kepada keluarganya. Dan kalau benar masih banyak kelemahan dirinya, ia masih boleh diperbaiki. Ingat Izzat, tak ada manusia yang sempurna. Kita bukan maksum!” Naqiuddin kesal melihat sikap Izzat. Bagi dirinya, Izzat dan Maryam Ibtihal sangat secocok andai digandingkan sebagai pasangan suami isteri.

Maryam diam tidak berkutik di balik tabir yang memisahkan ruangan solat ikhwah dan akhwat. Dia bukan sengaja mencuri dengar hiwar itu. Hajatnya sekadar ingin mengambil Tafsir Pimpinan ar-Rahman yang tertinggal di musolla. Entah mengapa, matanya terasa berpasir. Kakinya terasa tidak mampu untuk berdiri lagi di situ. Dan gegendang telinganya sudah tidak tega untuk mendengar kata-kata itu lagi. Lantas dia berlalu pergi. Dan kakinya telah membawa dia ke sini.

Balqis masih setia di sisi, memeluk dan mengusap lembut belakangnya. Maryam membalas pelukan itu.

“Balqis, terlalu peritnya jalan ini... Sakitnya perjuangan ini...” dalam sedu Maryam bersuara.

“Apa maksud anti? Ana kurang mengerti.”

“Balqis, ana sedar diri ini tak ubah seperti pualam di pinggir jalan. Tak ada siapa yang sudi memandang. Tapi ana punya impian yang tinggi, ana nak menjadi seperti permata yang indah. Tapi jalannya terlalu sukar, terlalu menyakitkan... Jihad ini terlalu akbar... Ana khuatir ana akan kecundang.”

Shh... Bersabarlah ukhti. Ingatlah, seorang Maryam itu sangat kuat orangnya. Biarpun pelbagai tohmahan diterima, dia tetap sabar kerana dia yakin Tuhan sentiasa ada untuknya. Biarpun tika semua orang membuangnya, dia masih sabar kerana dia tahu dia benar. Ukhti, ingatlah Allah takkan membiarkan seseorang itu mengaku dirinya beriman sedangkan dirinya tidak diuji. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ingatlah, Dia tidak akan memberi beban yang melebihi kemampuan anti, tetapi Dia akan sesuaikan dengan batas usaha, kesanggupan dan kekuatan yang anti miliki. Allah tahu kemampuan anti dan Allah tahu anti boleh melaluinya. Perbanyakkanlah zikir illallah... Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Balqis memujuk penuh sabar.

Maryam menghela nafas berat. Dia melepaskan rangkulan di tubuh Balqis. Dipandangnya wajah rafik di sisi.

“Ya, benar kata anti. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Maryam mengukir senyuman tawar.

Ukhti, dalam al-Baqarah ayat 153 Allah telah berfirman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. Ukhti, berpegang teguhlah pada Allah kerana Dialah sebaik-baik pelindung dan penolong.” Balqis menggenggam erat tangan Maryam. Maryam memandang wajah Balqis lama.

Syukran jazilan ya ukhti... moga Allah membalas setiap kebaikan anti dengan ganjaran yang sebaik-baiknya… Allah yubarik fik.” Setitis air mata jernih mengalir di pipi Maryam.

Ameen... insyaallah Maryam, andai ukhti istiqamah, ana yakin anti akan berjaya. Ana tahu jihad ini terlalu besar, kerana jihad melawan ‘diri’ bukannya mudah. Tapi yakinlah ukhti, satu tika nanti pasti anti akan merasai kemanisannya... Halawatul iman...” Balqis menyeka air mata di pipi Maryam dengan tangannya.

Insyaallah, doakan ana ya ukhti. Ana terlalu lemah...” Maryam tunduk menekur ke tanah.

Ya Allah, pedihnya bila diri ini diperkecilkan. Ya, aku tahu aku ini tak ubah seperti pualam. Aku tahu diriku bukan datang dari keluarga yang ditarbiyyah, namun terlalu hinakah diri ini untuk menjadi sayap kiri seorang syabab? Kenapa yang bergelar insan itu lebih gemar menghukum tanpa punya keinginan untuk cuba memahami?

Ya Allah, janganlah Engkau pikulkan aku apa yang tidak sanggup aku memikulnya, kerana dengan itu hatiku akan menjadi lemah dan aku akan binasa. Ya Rabbi, Kau mudahkanlah urusanku sebagaimana Engkau telah memberi kemudahan kepada orang-orang sebelumku serta ringankanlah bebanku sebagaimana Engkau telah mengabulkan doa orang-orang yang memohon bantuan dari-Mu...

Ya Allah, Tuhan yang menciptakan hati, Tuhan yang memiliki hati ini, Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati, hilangkanlah resah dan gelisah dalam hati ini ya Rabbi... Sudilah Engkau memandang diriku ini... Pandanglah aku dengan pandangan rahmat-Mu... Pandanglah aku dengan pandangan kasih sayang-Mu... Ya Muhaimin, sinarilah hati ini dengan nur hidayah-Mu, tetapkanlah nikmat iman dan Islam dalam hati ini, kerana Engkaulah Tuhan yang menciptakan hati, kerana Engkaulah Tuhan yang memiliki hati ini.

Ya Rabbul Izzati, jangan biarkan sesekali aku jauh dari-Mu... Jangan Engkau biarkan aku terkapai-kapai dalam perjalanan panjang mencari cinta-Mu... Terangilah jalan hidupku... Permudahkanlah urusanku, tenangkanlah hatiku, berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi segala ujian dari-Mu ya Allah... Kurniakanlah aku dengan kesabaran yang tinggi kerana aku ini terlalu lemah... Ya Allah ya kareem, dengarlah rayuanku ini... Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang dhaif ini... Ameen ya rabbal ‘alamin.


**********

Langkah kakinya diatur perlahan. Sesekali tangannya menyeka keringat yang berbintik-bintik di wajah. Dia menyeluk saku jubahnya. Sehelai tisu dikeluarkan. Dikesatnya keringat di wajah dengan tisu itu. Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi kereta menghampir dari jihat belakang. Dia menoleh. Dia kenal pemilik kereta itu. Ummi Asiah, naqibahnya. Kereta itu berhenti di sisinya. Cermin kereta diturunkan.

Assalamualaikum Maryam.” Ummi Asiah memberi salam sambil tersenyum.

Waalaikumussalam... Ummi...” Maryam menjawab perlahan. Ummi Asiah menggamit Maryam menaiki keretanya. Perlahan, Maryam menurut. Tangan Ummi Asiah disalami penuh hormat. Ummi Asiah mengusap lembut kepala Maryam.

“Maryam sihat?”

Alhamdulillah, sihat Ummi...”

“Kita pergi minum dulu ya?” Ummi Asiah tersenyum dan Maryam sekadar membalas dengan anggukan. Ummi Asiah memandu keretanya dengan cermat. Setibanya di Selera Kafe, mereka mengambil tempat di ruangan yang agak jauh dari pengunjung lain. Setelah membuat pesanan, Ummi Asiah tersenyum memandang Maryam.

“Sebenarnya Ummi nak jumpa Maryam hari ini kerana bersebab. Ummi nak tanya sesuatu, tapi Maryam mesti jawab dengan setelusnya.” Ummi Asiah memulakan kata. Maryam mengangguk perlahan.

“Hati Maryam dah dimiliki?” soal Ummi Asiah lembut. Maryam kaget namun dia menggeleng perlahan.

Hurm... Sebenarnya tujuan Ummi bertemu Maryam hari ini kerana membawa hajat seseorang.” Senyuman Ummi Asiah melirik di bibir.

“Hajat?” soal Maryam, kurang mengerti.

“Ya, ada seorang akh yang berhajat menyunting Maryam untuk dijadikan zaujah. Insyaallah, akh itu seorang yang beragama dan baik budi pekertinya. Ummi yakin dia bisa menjadi zauj yang sesuai buat Maryam.”

“Tapi ummi, ana rasa tak layak untuk akh tu. Ana bukannya dari keluarga yang ditarbiyyah. Ana masih banyak lagi kekurangan dan kelemahan. Ana rasa akh tu dah tersilap andai ana yang menjadi pilihan.” Maryam bersuara perlahan. Entah mengapa, suara yang menghiris fuadnya lewat musim lalu kembali kedengaran di ruangan minda. Hatinya mula dipagut sayu.

“Maryam, akh tu tak silap. Memang anti yang dihajatkan untuk menjadi suri di hati. Dia sendiri dah mengakui kesediaannya untuk menerima anti sebagai zaujah. Dan dia sendiri sanggup menerima apa jua kekurangan diri anti.” ujar Ummi Asiah bersungguh-sungguh. Namun dia bimbang itu hanya sekadar mimpi yang indah.

“Kalau Maryam bersetuju, Ummi akan aturkan liqa’.” Maryam terus membisu.

Ya Allah, berikanlah aku petunjuk-Mu!


**********

Mabruk! Moga Baitul Muslim yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. Moga dikurniakan zuriat yang bisa menjadi penyejuk di mata, penawar di hati. Barakallah ‘alaykum!” Balqis mengucup lembut pipi Maryam setelah tamam majlis akad nikah. Maryam mengukir senyuman nipis. Terasa wajahnya begitu hangat, dan kelopak matanya seakan berpasir. Ya Allah, terima kasih atas kurniaan ini!

“Minta laluan, pengantin lelaki nak masuk ni...” kedengaran suara Mak Itam di muka pintu. Debaran di dada semakin kuat. Maryam tidak tega untuk memandang insan yang kini berdiri di hadapannya itu. Pandangannya dihala ke lantai. Jemarinya disentuh lembut. Sebentuk cincin disarungkan ke jari manisnya. Tangan itu dikucupnya lembut penuh hormat , lama. Dia masih gentar untuk memandang wajah insan di hadapannya. Perlahan, dagunya disentuh dan dahinya dikucup lembut. Setitis demi setitis air jernih mengalir dari pelupuk matanya.

“Terima kasih kerana sudi menjadi isteriku, Maryam Ibtihal. Uhibbuki fillah... Abadan abada...” perlahan ungkapan itu dibisikkan ke telinga Maryam.

“Terima kasih suamiku atas kesudian memilih pualam di pinggiran ini untuk menjadi sayap kiri. Terima kasih kerana menerima diri ini seadanya. Bimbinglah diri ini dalam mencari cinta-Nya...” Bisik Maryam perlahan. Teragak-agak, Maryam memberanikan diri memandang wajah insan yang kini telah bergelar suami buat dirinya. Ada senyuman di wajah itu. Senyuman yang penuh makna!

Ya Allah, benarkah ini bukan mimpi?

“Maryam Ibtihal adalah seorang yang berjiwa akbar, tidak gentar untuk berjihad melawan diri. Maryam Ibtihal bukannya pualam di pinggiran. Bagi abang, Maryam Ibtihal adalah sebutir permata di dalam hati ini.” Tangannya di letakkan ke dada.

Ya Allah ya rabbi... Jika Engkau mengizinkan aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu. Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu. Ya Rabbul Izzati, jika Engkau halalkan aku merindui kekasih-Mu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku kepada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu. Ya Allah, jika Engkau menetapkan Ahmad Naqiuddin ini sebagai suamiku, kuatkanlah ikatan antara kami, kekalkanlah ikatan ini hingga ke akhir hayatku. Lapangkanlah dada kami dengan kurniaan iman dan indahnya tawakal pada-Mu. Ya Allah ya kareem, Engkaulah Tuhan yang Maha Agung... Terima kasih atas nikmat yang tidak ternilai ini ya Allah... Ameen ya rabbal ‘alamin...

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah, Dia menciptakan jodoh untukmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya. Dan dijadikan antaramu rasa kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada hari yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui...”

~Surah ar-Rum: ayat 21~




~TAMAT~



Tarian Pena:
F.H. Fansuri
2702090040
Tmn. Sri Kuching,
Jalan Sri Kuching,
Kuala Lumpur
27 Februari 2009
12.40 a.m



Glosari

Pualam – batu
Jihat – arah atau sisi
Atma - jiwa
Fuad – hati
Asif jiddan – maaf
Ikhwah – saudara lelaki (ramai)
Akh – saudara lelaki (seorang)
Akhwat – saudara perempuan (ramai)
Ukht - saudara perempuan (seorang)
Hiwar – perbualan
Akbar­ – besar
Zikir ilallah – zikir kepada Allah
Syukran jazilan – terima kasih
Allah yubarik fik – semoga Allah memberkati kamu
Halawatul iman – kemanisan iman
Syabab – pemuda
Naqibah – ketua usrah (perempuan)
Zauj – suami
Zaujah – isteri
Liqa’ – pertemuan
Mabruk – tahniah
Baitul Muslim – rumahtangga Islam
Barakallah ‘alaykum – moga Allah memberkati kamu berdua
Tamam – selesai
Uhibbuki fillah – saya sayangkan awak kerana Allah
Abadan abada – selama-lamanya


No comments:

Post a Comment