Friday, October 16, 2009

Aku Bukan Khadijahmu...




“AKU TERIMA NIKAHNYA Addina Husna binti Abdul Hakeem dengan mas kahwinnya RM80.00 tunai…” Alhamdulillah, dengan sekali lafaz Dina sudah bergelar seorang zaujah. Terasa wajahnya merona merah, ada rasa hangat yang menjalar di wajah. Mata tiba-tiba seakan berpasir. Debar di dada semakin kuat. Di bahu sudah ditambah tanggungjawab yang baru, sebagai seorang zaujah. Kolam mata hampir pecah namun segera diseka air yang hampir tumpah dari tubir mata tatkala mendengar ada derap langkah yang kian menghampir.

“Assalamualaikum…” lafaz salam itu perlahan namun jelas kedengaran di cuping telinga Dina. Dina menekur pandangannya ke lantai. Dijawab perlahan lafaz itu tanpa memandang wajah insan yang berdiri di hadapannya. Insan yang kini sudah halal buat dirinya. Insan yang sudah tertulis di Luh Mahfuz menjadi belahan jiwanya. Insan yang bisa menjadikan diri seorang Addina Husna ini sebagai sayap kiri dalam perjuangan menggenggam syahid. Dan kepada insan inilah sepenuh ketaatan wajib ditumpahkan selepas Allah dan Rasul, bermula dari saat ini!

Tiba-tiba, terasa ada tangan yang menyentuh lembut jemarinya. Sebentuk cincin disarungkan ke jari manisnya. Dina khali seketika namun suara Wafa yang menyeru namanya mengembalikan dia ke alam nyata. Dengan perlahan, Dina mengucup lembut penuh hormat tangan yang sebentar tadi menyarungkan cincin ke jari manisnya, lama. Dia masih gentar untuk memandang wajah insan di hadapannya. Perlahan, dagunya disentuh dan dahinya dikucup lembut. Setitis demi setitis air jernih mengalir dari pelupuk matanya. Ya Allah, terima kasih atas anugerah terindah ini!

“Terima kasih kerana sudi menjadi isteriku, Addina Husna. Dirimu adalah permata yang selama ini kucari. Inilah nikmat teragung kurniaan Ilahi pada diriku. Insyaallah, abang takkan sia-siakan Addina. Uhibbuki fillah…abadan abada…” perlahan bicara itu dibisikkan ke telinga Dina.

Teragak-agak, Dina memandang tampang di hadapannya ini. Ada senyuman di wajah itu. Senyuman yang penuh makna! Inilah dia suamiku... Ameer Fikri bin Khaleed!

Mabruk! Moga Baitul Muslim yang di bina ini berkekalan hingga ke jannatul FirdausBarakallahu ‘alaykum…” Wafa tersenyum nipis memandang dua orang sahabatnya yang kini sudah bergelar suami isteri.


DINA MEMBUANG PANDANG di luar jendela biliknya. Langit malam yang indah dihiasi bintang-bintang bertaburan gagal menghilangkan keresahan atmanya. Sesekali jam di dinding dipandang lesu. Jarum jam menunjukkan hampir jam dua belas malam. Langkah kaki kemudiannya diatur menuju ke bilik air. Penuh yakin, wudhuk disempurnakan. Telekung di ampaian dicapai. Sejadah dihampar perlahan ke jihat Baitullah. Dina menarik nafas dalam, mengumpul kekuatan. 'Ya Allah, kurniakanlah aku ketenangan' bisik atmanya. Solat sunat lantas didirikan.

Tamam solat sunat, naskhah ‘kompilasi warkah cinta kekasih Agung’ dicapai dan dialunkan perlahan, penuh tartil. "Wahai orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan keluarga kamu daripada seksa api neraka..." Tanpa sedar, ada air jernih yang mengalir di pipi tatkala bibirnya menekuni terjemahan surah at-Tahrim ayat 6 itu.

Ya Allah, jika ini ujian dariMu, aku redha. Lemah-lemah diri kami ini, kuatkanlah ya Allah. Rapuh-rapuh hati kami ini, teguhkanlah ya Allah. Engkaulah Tuhan yang menciptakan hati-hati kami, Engkaulah Tuhan yang memiliki hati-hati kami, Engkaulah Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati kami. Teguhkanlah hati-hati kami ini pada agamaMu ya Allah... Sesungguhnya aku masih belum dapat melihat akan kebaikan di sebalik kepedihan yang Kau titipkan ini dengan ilmuku yang terbatas. Tetapi ya Allah, aku yakin ilmuMu Maha Luas. Pasti ada kebaikan yang terselindung di sebalik ujianMu ini... Bantulah diriku ini ya Allah... Bantulah diriku yang lemah ini ya Muhaimeen...

Saki-baki air mata dikesat dengan kedua belah tangan. Dina menarik nafas dalam, mengumpul kekuatan. Telekung yang membaluti tubuh dirungkai perlahan lantas diletakkan kembali di atas ampaian yang terletak di penjuru bilik. Langkah kaki diatur menuju pembaringan. Perlahan bibirnya melafazkan doa sebelum tidur dan ayat-ayat suci al-Qur'anul Kareem. Namun, matanya begitu sukar untuk dilelapkan. Fikirannya melayang jauh dan akhirnya tersangkut di ranting kenangan.


"Waktu kita masih bergelas mahasiswa, kita tak akan merasai sangat cabaran dalam dakwah. Tapi bila dah tamat belajar, dah melangkah ke dunia kerjaya, dan mungkin juga dah membina Baitul Muslim, barulah cabaran sebenar dalam dakwah itu dapat kita rasai dan alami. Inilah dia antara cabaran dan ujian dalam keluarga du'at." Haji Zairul menatap wajah-wajah syabab di hadapannya yang tekun mendengar butir-butir bicaranya.

"Dengan kesibukan kerja, komitmen pada keluarga dan tuntutan dakwah dalam masa yang sama memberikan cabaran yang besar. Tapi ingin saya ingatkan di sini, biar sesibuk mana pun kita, jangan sesekali kita tinggalkan usrah. Jangan kita tinggalkan tarbiyyah kerana tarbiyyah itu sangat penting. Kita takkan mungkin dapat seimbangkan antara kerjaya, rumahtangga dan dakwah. Perseimbangan takkan boleh berlaku, yang ada ialah pengorbanan." Perkataan 'pengorbanan' itu sedikit ditekan oleh Haji Zairul.

"Perseimbangan adalah sangat subjektif. Apa yang boleh kita lakukan adalah pengurusan masa. Pengurusan masa adalah sangat penting dalam keluarga du'at. Gunakan masa yang ada semaksima mungkin. Bila bersama keluarga, banyakkan masa 'berkualiti' bersama keluarga. Sebenarnya tak perlu lama-lama pun, walaupun 10 minit, kalau berkualiti, lebih baik dari 24 jam kita bersama dengan mereka. Selain itu, komunikasi juga penting. Kalau tak boleh nak sampaikan melalui kata-kata, gunakan cara penulisan. Berterus-teranglah dalam semua perkara. Sesungguhnya berterus-terang itu membahagiakan walaupun 'sakit'."



"Berterus-terang itu membahagiakan walaupun sakit..." perlahan bibir Dina mengulangi kata-kata Haji Zairul sewaktu dia mengikuti Konvensyen Graduan Nasional tamam pengajiannya di universiti.

"Seharusnya sebagai seorang isteri, aku harus menegur apa yang pincang dalam keluargaku. Bukankah aku mengimpikan sebuah keluarga du'at yang bersama memburu syahid di jalan Allah?" Monolog hati Dina. Ya, dia perlu lakukan sesuatu.


AMEER MELANGKAH LESU. Tubuhnya yang keletihan lantaran seharian bekerja disandarkan ke sofa yang terletak di ruang tamu. Dia meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Wajahnya menengadah kipas yang sedang berputar laju. Selaju itulah otaknya sedang bekerja. Dia mengerling jam di tangannya. Hampir pukul 1 pagi. Seketika dia memandang sayu pintu bilik tidurnya. Dia yakin, disebalik pintu itu pasti isterinya yang dicintai sudah lena dibuai mimpi. Perlahan, Ameer bangun dan mencapai beg yang sebentar tadi diletakkan di tepi sofa. Langkah kakinya menuju ke bilik kerjanya yang terletak bersebelahan dengan bilik tamu.

Pintu bilik kerja dikuak perlahan. Lampu bilik dinyalakan. Dia melangkah ke meja kerjanya. Tangannya menyentuh komputer riba yang sedia terletak di situ. Suis ditekan, dan pabila komputer riba itu sudah sedia berfungsi, tangannya lincah menari di papan kekunci.


"ABANG, MALAM ESOK ADA KULIAH USTAZ ZUL KAN?" Dina memandang wajah Ameer yang sedang mengenakan tali leher. Perlahan, dia melangkah mendekati suaminya itu. Tangannya mencapai lembut tali leher dalam genggaman Ameer. Lincah tangannya membantu si suami yang kini diam membisu.

"Erm... Abang tak ingatlah. Tapi kenapa?" Wajah si isteri di pandang penuh tanda tanya.

"Abang tak nak pergi ke?" Soal Dina penuh mengharap.

"Malam esok ya? Erm... rasanya Abang tak boleh nak pergi. Abang ada perbincangan dengan Dato' Malek pasal projek terbaru kami. Tapi kalau sayang nak pergi, abang izinkan." Ameer tersenyum memandang wajah isterinya yang hampir 5 bulan dinikahi.

"Tapi Abang dah lama tak pergi kuliah Ustaz Zul kan? Usrah pun dah banyak kali abang terlepas. Sekarang pun kita dah jarang sangat solat berjamaah. Semalam Akh Naqiuddin ada bertanyakan abang melalui Kak Mariam." Dina bersuara perlahan. Ada sendu yang mula bertandang.

"Abang minta maaf. Abang bukan sengaja, tapi..." Ameer kehilangan kata-kata.

"Sayang faham, abang sibuk bekerja. Tak apalah kalau abang tak boleh pergi, esok sayang pergi dengan Wafa dan Kak Mariam. Eh, abang dah lambat kan?" Cepat-cepat Dina mengubah topik perbualan.

"Erm... abang pergi dulu ya?" Ameer menghulur tangan kanannya. Dina tunduk menyalami tangan suaminya. Sebuah kucupun lembut singgah di dahinya. Terukir senyuman paling manis dari bibir Dina, hadiah buat imamnya.


PERBINCANGAN ANTARA DIA DAN DATO' MALEK yang dijadualkan malam ini tiba-tiba dibatalkan pada saat akhir dan ditunda ke minggu hadapan. Ameer mencapai gugusan kunci dari poket seluar. Pintu rumah dikuak perlahan. Dia menapak ke dalam rumah. Yang menyambut kepulangannya hanyalah 'gelap' dan 'sunyi'. Isterinya sudah diberi keizinan untuk menghadiri kuliah Ustaz Zulhilmi. Suis lampu dipetik. Langkah kaki dihala menuju ke dapur. Ameer tersenyum tatkala matanya singgah di meja makan. Segalanya sudah siap tersedia. Perutnya memang sudah menyanyikan lagu keroncong dan sebentar lagi pasti bertukar pada irama melayu asli jika tidak segera diisi.

Tudung saji diangkat ke tepi. Senyumannya melebar lagi. Isterinya itu memang bijak sungguh 'mengikat' dirinya dengan air tangan yang tidak tertanding. Tiba-tiba matanya tertancap pada sepucuk sampul berwarna ungu di sisi hidangan itu. Hatinya diterjah pelbagai persoalan. Segera dicapai sampul berwarna ungu itu. Dia tahu, ungu itu warna kegemaran isterinya. Ameer melabuhkan punggungnya. Sampul itu dibuka dengan berhati-hati dan isinya ditarik perlahan.



Bismilahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Buat tatapan 'imam'ku yang telah dijanjikan Allah suatu ketika dulu. Iftitah bicara, kemaafan kupohon andai apa yang ingin kusampaikan ini mengguris hatimu. Mungkin juga diri ini akan dianggap bagaikan si ibu ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan betul. Mungkin juga tingkahku ini bagaikan melanggar adat. Namun, fahami dan mengertilah wahai suamiku bahawa apa yang kulakukan ini tidak lain adalah atas dasar kasih dan cintaku padamu, selepas cintaku kepada Allah dan Rasulullah.

Wahai belahan jiwaku,
Sedari awal diri ini menjadi suri hidupmu, diriku sungguh bahagia. Bahagia lantaran diri ini terpilih menjadi tiang seri ataupun sandaran bagi perjuanganmu. Bahkan diri ini amat bersyukur pada Ilahi kerana ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tangan untuk berpaut di saat dirimu rebah dan tersungkur di medan memburu syahid yang penuh duri dan berliku itu. Akan kukesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku.

Ketahuilah wahai mujahidku,
Tiada yang lebih bahagia buat diriku, melainkan didikanmu yang akan membuatkan diri ini mencintai perjuangan menegakkan Deen ini. Bahagia itu letaknya pada ketenangan jiwa. Namun cuba kita tanyakan pada hati-hati kita, adakah ketenangan itu setia bermukim?

Wahai suamiku, ketahuilah bahawa hatiku kini menangis pilu. Imamku kini kehilangan arah lantaran fatamorgana dunia yang membelai dan mengasyikkan. Bukan wang dan permata yang kudambakan. Bukan itu yang kuimpikan. Bukan dunia tujuan hidupku. Dunia ini bukankah bagai air laut? Semakin banyak kita minum, semakin kita akan merasa haus dan kita tidak akan pernah rasa puas. Permintaanku tidak banyak wahai pemilik sebahagian hatiku, cukuplah dirimu yang diinfakkan seluruhnya pada redha Ilahi. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu kerana dengan mencintai Allah, kau akan menyintaiku keranaNya. Cinta itu lebih abadi. Dan moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga nanti.

Wahai suamiku yang dijanjikan Allah, bersamalah kita mendidik hati-hati kita ini untuk mencintai SYAHID demi redhaNya. Bersamalah kita bersyukur, bersyukur dengan mencintai DIA lebih dari segala isi dunia dan dunia ini. Bukankah 'pemberi hadiah' itu wajar kita cintai dan hargai melebihi 'hadiah' yang dikurniakan buat kita? Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya wahai suamiku, kerana itu jauh lebih bermakna bagiku...



AKU BUKAN KHADIJAHMU

Berkali-kali kuingatkan diri,
Aku hanya sebutir pasir yang ada di mana-mana,
Manakan mungkin mampu bergandingan dengan berlian.


Berkali-kali kuingatkan diri,
Siapalah aku untuk mendambakan insan semulia Muhammad,
Sedangkan aku ini bukannya Khadijah,
dan aku sendiri tidak mampu untuk menjadi Khadijah.

Berkali-kali kuingatkan diri,
Belajar dan bertatihlah mentarbiyyah diri,
Belajarlah kembali menjadi mujahidah,
Dan doaku agar kau menjadi seperti Muhammad,
Walau kiranya aku bukan Khadijahmu.



Wassalam.

Addina Husna Abdul Hakeem,
Putra Height.



Titis-titis air mata membasahi pipi. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku ya Allah! Ampunkanlah kelalaianku ya Muhaimeen...


"SAYANG, ABANG ADA SESUATU UNTUK SAYANG." Dina memandang wajah suaminya yang berada di sisi penuh tanda tanya.

"Hadiah untuk seorang isteri yang setia, hadiah untuk bidadariku..."Tutur Ameer sambil mengukir senyuman manis. Tangannya menyerahkan sepucuk sampul kepada Dina.

"Apa ni?" Soal Dina sambil tangannya menyambut huluran suaminya.

"Bukalah..." Arahan suaminya dituruti. Matanya meneliti helaian kertas yang kini berada di tangannya.

"Betul ke ni bang?" Dina bersuara girang. Ameer sekadar mengangguk.

"Ya Allah, terima kasih abang. Dina tak tau macamana nak ucapkan terima kasih pada abang." Tangan suaminya dicapai dan dikucup penuh hormat. Tiket penerbangan menunaikan umrah yang berada dalam genggamannya dipegang erat.

"Tak perlu berterima kasih pada abang. Abang yang sepatutnya berterima kasih pada Dina untuk 'warkah ungu' tempohari." Ameer mengusap lembut ubun-ubun isterinya.

"Maafkan Dina, abang."

"Dina tak salah. Abang yang bersalah. Abang futur. Tapi abang bertuah sebab abang ada Dina, sayap kiri yang setia menghulur tangan di saat abang mulai tersasar." Sebuah kucupan hinggap di dahi isterinya.

"Sayang nak tau sesuatu?" Soal Ameer sambil tersenyum.

"Apa dia?" Dina memandang tepat ke dalam anak mata suaminya.

"Kata-kata Ustaz Zul memang tepat. Pilihlah pasangan yang ada fikrah, pasangan yang beroleh tarbiyyah. Insyaallah pasangan kita itu akan menjadi penguat dan penyokong kita dalam kerja-kerja dakwah. Buktinya kini sudah ada di depan mata abang. Insyaallah, abang janji biar sesibuk mana pun usrah, tarbiyyah malah kerja-kerja dakwah takkan abang abaikan. Ini janji abang." Ameer menghela nafas lega. Pandangannya ditebarkan ke halaman rumah.

"Abang, masih ingat puisi Aku Bukan Khadijahmu?" Tiba-tiba Dina menyoal lembut. Ameer mengangguk perlahan.

"Mungkin betul kita ini tidak semulia Muhammad dan Khadijah, tapi Dina ingin sekali kita menjadi seperti mereka. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi..." Ujar Dina lembut penuh pengharapan.

"Ameen... Insyaallah isteriku..." Balas Ameer sambil menggenggam erat tangan isterinya yang merupakan sayap kiri dalam perjuangan menggenggam syahid.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).



at-Taubah: 24





SETIA SEORANG ISTERI

(Wildan)


Di sebalik redup mata mu
Tersimpan satu rahsia
Yang terbuku di ruang hati mu
Di balik senyuman mu
Tersirat simpulan...
Deritanya hanya kau yang tahu

Kau setia menanti
Kau setia mengharungi
Biarpun ribut badai melanda
Kau teguh berdiri
Walau deras angin menderu
Kau tetap di sisi

Ku doakan agar kau kan bahagia
Ku doakan agar tiada lagi derita
Moga Tuhan kan merahmati mu
Di syurga yang selayaknya
Untuk seorang isteri yang setia

Setia mu ku hargai
Kaulah isteri yang ku sanjungi
Kerana kaulah bidadari
Yang bersemi di hati

Ku doakan agar kau kan bahagia
Ku doakan agar tiada lagi derita
Moga Tuhan kan merahmati mu
Di syurga yang selayaknya
Untuk seorang isteri yang setia



**TAMAT**


Tatkala Pena Menulis,
F.H.Fansuri
Bandar Anggerik,
Selangor
17 Oktober 2009
2.10 p.m
-1710090210-



KY: Nantikan pula selepas ini, CINTA TERATAS...

2 comments:

  1. salam..
    x sangka sahabat lama sekolah ku ini berbakat besar dalam bidang penulisan..teruskan usaha menghasilkan tulisan dan karangan yg penuh isi dan patinya..gud luck:)

    ReplyDelete