Saturday, September 25, 2010

[K.A.M.I] Maryam Ibtihal - Bab 4

- Bila Hati Berbisik -

“MAR...” Balqis tersenyum sambil tangan kanannya menghulurkan sebiji mug berisi coklat panas kepada Maryam.

“Terima kasih!” Maryam menyambut mug yang dihulurkan kepadanya dengan kedua-dua belah tangan. Dia menegakkan duduknya. Bantal kecil di sebelah kirinya lantas diambil dan diletak ke riba. Balqis mengambil tempat di seblah Maryam. Televisyen yang terpasang diperhatikannya.

Kingdom Of Heaven lagi?” Berkerut dahi Balqis sambil memandang wajah Maryam. Maryam senyum segaris. Balqis di sisinya dikerling.

I’m falling in love!” Ujar Maryam, selamba.

“Hah??? With???” Balqis kaget. Wajah Maryam dipandangnya lama, memohon penjelasan.

This story...” Maryam tergelak kecil. Tangan kanannya menekup mulut. Balqis tersenyum lebar. Pantas tangannya singgah di lengan Maryam.

“Aduh! Garangnya...” Maryam mengusap perlahan lengannya yang menjadi mangsa Balqis. Dia menarik muncung panjang.

“Siapa suruh main-main?”

“Betullah. Siapa pula main-main? Mar memang dah jatuh cinta dengan cerita ni. Hebat sungguh Salahuddin ni. Tengoklah strategi peperangan dia. Sangat tersusun. Sibuk-sibuk berperang pun, solat tetap ditunaikan.” Mug berisi coklat panas dibawa ke bibir dan dihirup perlahan.

“Mar tak tengok lagi cerita Lion of the Desert. Kisah perjuangan Omar Mukhtar menentang penjajah Itali di Libya. Kalau Mar tengok cerita tu, mesti kagum habis dengan Omar Mukhtar.” Balqis bangkit dan bersila di atas permaidani. Komputer ribanya yang berada di atas meja sofa dicapai.

“Betul ke?” Maryam pantas bersila di sisi Balqis.

“Ya. Nanti Qis carikan cerita tu untuk Mar.”

Yes! Sayang Qis!” Maryam pantas memeluk Balqis erat dan kembali mengambil tempat di atas sofa. Balqis tersenyum sendiri. Macam-macam!

“Qis, Mar pernah dengar ada seseorang ni cakap, bagi dia tudung bukan pengukur ketakwaan seseorang muslim. Ianya lebih kepada niat suci kita. Kita tak boleh mengukur keimanan seseorang itu atas apa yang terdapat atas kepalanya, tetapi apa yang ada di dalam kepalanya dan juga apa yang ada di dalam hatinya. Betul ke?” Soal Maryam tiba-tiba. Balqis yang sedang duduk bersila di atas permaidani dipandang. Balqis menoleh memandang Maryam yang sedang menongkat dagu.

Don’t judge a book by its cover? Macam tu ke?” Soal Balqis spontan.

“Lebih kuranglah. Dia kata, tak semestinya mereka yang tak tutup aurat ni jahat. Walaupun ada yang berpakaian seksi dan mendedahkan aurat, tapi hati mereka baik dan suci. Ada yang solat tak pernah tinggal. Kalau tengok wanita bertudung ramai je yang buat jahat. Berzina, khalwat dan macam-macam lagi. Dia kata Allah tak pandang luaran, tapi Allah pandang pada hati dan amalan. Siap keluar hadis tu.” Balas Maryam panjang lebar. Balqis menundukkan pandangannya. Afalnya seperti sedang memikirkan sesuatu.

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu. Hadis ni ke?” Soal Balqis tiba-tiba.

“Yup. Hadis tu la.” Maryam memetik jarinya spontan.

Balqis menggeleng-geleng kepala. Bibirnya bergerak perlahan. “Astaghfirullah...”

“Bila nafsu dah menguasai akal, sampai sanggup berhujjah dengan hadis untuk menyokong nafsu. Mar, tak perlu kita pening kepala nak fikir betul atau tidak apa yang dia katakan tu. Paling mudah, cuba kita bayangkan kalau sekarang ni Rasulullah ada di depan mata kita. Agak-agak, Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? Kalau Rasulullah tersenyum, alhamdulillah. Tapi kalau tak? Adakah kita berpeluang untuk menerima syafaat darinya di akhirat kelak?”

Maryam terkedu. Lama dia cuba menstabilkan aturan nafasnya kembali. Balqis bingkas bangun dan melabuhkan tubuhnya di sebelah Maryam. Tangan kanannya diletakkan perlahan di atas peha kiri Maryam.

“Cuba Mar fikir, seorang pekerja yang bekerja sambil lewa, datang lambat, tak ikut peraturan syarikat, kerja tak siap, tapi dia kata luaran dia saja nampak macam tu. Tapi hati dia ikhlas dan kerja dia cemerlang. Adakah majikannya boleh terima dia sebagai seorang pekerja yang cemerlang?”

“Hurm, tak!” Jawab Maryam pendek.

“Jadi, adakah Allah boleh menganggap hati hambaNya itu suci dan baik kalau hambaNya itu melanggar perintahNya? Mar pun tahu jawapannya kan? Hukum bertudung dan menutup aurat ni jelas disebut dalam al-Qur’an. Tak perlu lagi kita nak pertikaikan dengan berhujah menggunakan logik akal fikiran dan menurut kehendak nafsu. Setiap sesuatu itu perlu ditentukan menurut neraca Allah dan Rasul, bukan neraca pemikiran kita semata-mata.”

“Rasulullah s.a.w. ada bersabda bahawa dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Yang mana kalau ianya baik, maka baiklah seluruh anggota tubuhnya. Tetapi kalau ianya jahat, maka jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Dan itulah yang dinamakan hati. Perlakuan kita akan sentiasa seiringan dengan hati. Jadi kalau nak menilai hati ni, kita boleh lihat dari perlakuan kita.”

Maryam mengeluh perlahan. Tangannya memain-mainkan hujung bantal kecil yang berada dalam pelukannya. “Macamana pula bagi seseorang yang bertudung tapi dia masih buat maksiat?” Soal Maryam dalam getar.

“Dalam hal ni, ada dua perkara yang perlu kita semak. Yang pertama solat. Adakah dia solat? Kalau dia solat, bagaimana dengan solatnya? Allah berfirman dalam surah al-Ankabuut ayat 45 yang bermaksud sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. Kalau seseorang itu solat tak pernah tinggal tapi masih berbuat dosa dan maksiat, ada yang tak kena dengan solatnya. Mungkin solatnya tak khusyuk. Mungkin juga wudhu'nya tak sempurna. Yang kedua, kita tengok semula cara mereka bertudung. Adakah mengikut syariat yang ditetapkan? Penutupan aurat yang sempurna mengikut batas yang ditetapkan akan membataskan seseorang itu dari melakukan perbuatan yang dilarang. Sebab apa? Sebab mereka faham kenapa mereka perlu menutup aurat dan mereka benar-benar faham apa itu aurat seorang wanita muslim. Yang salah bukan tudung Mar, tapi manusia yang salah.”

Maryam diam membisu. Kingdom of Heaven di kaca televisyen tidak diendahkan. Balqis bangkit dan menghilang ke dalam bilik. Dia muncul semula dengan sebuah buku di tangan kanannya. Dia kembali mengambil tempat di sisi Maryam. Perlahan, buku itu dihulurkan kepada Maryam. Maryam terpinga-pinga memandang wajah Balqis.

“Ambillah. Hadiah dari Qis untuk Mar.” Balqis tersenyum manis.

Maryam menyambut huluran Balqis. Dibelek-belek buku itu beberapa kali. Ditatapnya muka hadapan buku itu. Bibirnya bergerak perlahan. "Maryam: An Exemplary Muslim Woman*." Dia memandang wajah Balqis dengan rasa terharu.



“Moga Maryam Ibtihal setabah dan sekuat Maryam binti Imran...” Ujar Balqis penuh makna. Bibirnya terus mengukir senyum. Tubuh Maryam diraih ke dalam pelukannya. Kedengaran tangis kecil Maryam. Bahunya terhinggut-hinggut menahan tangis.

MARYAM MELABUHKAN PUNGGUNGNYA di atas bangku kayu di pinggir tasik yang terletak dalam kawasan Taman Tasik Perdana. Beg sandangnya diletakkan di atas meja. Pemain mp3 dikeluarkan dari poket beg sandangnya. Earphone di tangan dimasukkan ke dalam tudung dan disumbat ke telinga. Without You** terus berlagu. Sebuah buku ditarik keluar dari dalam beg. Maryam begitu tekun membaca sambil bibirnya adakala turut menyanyi kecil.



“Assalamualaikum…” Satu suara menyapa. Maryam merasakan ada seseorang berdiri di belakangnya. Dia lantas berpaling. Pemain mp3 dimatikan.

“Errr… Assalamualaikum…”

“Waalaikumsalam…” Jawab Maryam sedikit teragak-agak. Dia memerhatikan tampang di hadapannya dari atas ke bawah. Wajah itu seperti pernah ditemuinya. Tapi dia lupa di mana.

“Adik ni siapa ya?” Soal Maryam. Dahinya sedikit berkerut.

“Saya Aizuddin. Akak boleh panggil saya Din. Boleh saya duduk?” Ujar Din meminta izin.

“Err... Silakan.” Maryam sedikit gugup. Din? Rasa macam pernah dengar. Tapi di mana ya? Maryam memaksa keras otaknya untuk bekerja.

“Din? Yes! Din!” Terpacul nama itu dari bibir Maryam. Dia memetik-metik jarinya.

“Err... Kenapa kak? Nama saya memang Din.” Din terpinga-pinga melihat gelagat Maryam.

“Ops, maaf. Akak rasa akak pernah nampak Din sebelum ni. Waktu tu kat gerai burger. Abang burger tu ada offer Din kerja, tapi Din tolak, kan?” Maryam senyum lebar.

“Ye la kot... Hehe...” Din tertawa kecil. ‘Glamour juga aku ni! Ada juga orang kenal aku! ’

“Saya selalu jogging kat sini waktu petang dengan abang angkat saya. Selalulah juga nampak akak duduk sorang-sorang kat sini. Kira ni 'port' akak la?”

Maryam tersenyum sambil mengangkat bahu.

“Lebih kuranglah. Ni tak jogging ke?”

“Tengah tunggu Abang Meeftah. Dia tak sampai lagi.” Balas Din. Dia mencuri pandang tajuk buku yang dipegang Maryam.

“Akak baca buku apa tu? Ops, lupa pula. Boleh saya tahu nama akak? Seronok sembang, tapi tak tahu nama.” Din menggeleng-geleng kepala.

“Nama akak Maryam Ibtihal. Din boleh panggil akak, Kak Mar. Akak tengah baca buku Maryam An Exemplary Muslim Woman. Hadiah dari kawan akak.”

“Ooo… Maryam Ibtihal baca buku tentang Maryam. Hurm… Menarik!” Din senyum segaris sambil memeluk tubuhnya.

“Yup, kalau Din nak tahu sekarang ni Maryam Ibtihal tengah belajar macamana nak jadi macam Maryam binti Imran.” Maryam menarik keluar earphone dari dalam tudungnya.

Interesting! Ceritalah sikit.” Muka Din bercahaya dengan senyum penuh ceria.

“Erm... Kalau Din nak tahu, Maryam binti Imran ni disebut oleh Allah dalam al-Qur’an mengenai tingkah lakunya yang perlu dicontohi oleh wanita Muslim. Kalau kita baca kisah hidup Maryam binti Imran, beliau adalah seorang yang sangat menjaga kehormatan dirinya, cantik akhlaknya dan yang paling penting sangat teguh pergantungannya pada Allah. Ada beberapa kisah yang membuktikan betapa teguhnya pergantungan Maryam.” Maryam diam seketika. Din di hadapannya menongkat dagu.

“Din ingat tak peristiwa Maryam bertemu dengan malaikat Jibril?”

“Rasanya ada belajar kat sekolah dulu. Akak ceritalah!” Din tayang gigi. Maryam tersenyum sambil menggeleng-geleng kepala. Ada-ada saja!

“Malaikat Jibril datang bertemu Maryam menyerupai seorang lelaki. Maryam tak tahu lelaki tu malaikat Jibril. Ada disebutkan dalam al-Qur’an surah Maryam ayat 18, Maryam berkata, ‘sesungguhnya aku berlindung daripadamu kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertaqwa’. Jelas kat situ Maryam meletakkan Allah sebagai pergantungannya yang paling utama. Yang menariknya lagi, dia ajak sekali lelaki yang tak dikenali tu untuk bertaqwa kepada Allah.” Maryam menggenggam kemas buku yang dihadiahkan Balqis. Dia melepaskan nafas panjang. Muka hadapan buku itu dipandang lama sebelum matanya beralih memandang wajah Din di hadapannya.

“Semuanya sebab hati...” Tutur Maryam perlahan. Dia membuang pandangannya ke tengah tasik.

“Berhati-hatilah menjaga hati...” Bisik Din perlahan namun cuping telinga Maryam masih dapat menangkapnya.

“Berhati-hatilah menjaga hati? Maksudnya?” Maryam mengherotkan bibir. Dahinya sedikit berkerut.

“Ya. Berhati-hatilah menjaga hati. Abang Meeftah selalu cakap, masinnya air laut tak mampu nak menyerap ke dalam isi ikan. Tapi bila ikan tu mati, secubit garam pun dah cukup untuk jadikan ia masin. Macam tu juga dengan hati kita. Hati yang hidup sukar untuk dinodai, tapi hati yang mati cukup mudah dipengaruhi. Sebab itulah kita kena berhati-hati menjaga hati. Moga Allah sentiasa pelihara hati kita.” Din tersenyum penuh makna.

Maryam terkedu. Bagaikan ada batu besar yang menghempas kepalanya. Bagaimana dengan hati aku? Adakah selama ini hati aku mati? Ya Allah!

“Eh, saya minta diri dulu ye kak! Abang Meeftah dah sampai tu. Assalamualaikum...” Din bingkas berdiri dan berlari-lari anak menuju ke arah Meeftah yang baru sahaja keluar dari keretanya.

Maryam diam tak berkutik. Terngiang-ngiang hadis Qudsi yang dikongsikan Ummi Safiyyah kepadanya suatu ketika dulu.

“Jika hambaKu mengingatiKu di dalam hatinya, Aku pun akan mengingatinya di dalam hatiKu. Dan jika ia ingat kepadaKu dalam lingkungan khalayak ramai, nescaya Aku pun ingat kepadaNya dalam lingkungan khayalak ramai yang lebih baik. Dan jika ia mendekat kepadaKu sejengkal, Aku pun mendekat pula kepadanya sehasta. Dan jika ia mendekat kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan jika ia datang kepadaKu berjalan, maka Aku mendatanginya sambil berlari.”

“Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku mendatanginya sambil berlari...” Bisik Maryam perlahan. Tanpa sedar, ada air jernih bertakung di tubir matanya. Sebiji bola yang tiba-tiba melantun di hadapannya membuatkan Maryam tersentak.

“Maaf kak!” Seorang gadis kecil segera mengutip bolanya dan berlalu pergi. Maryam mencapai earphone dan pantas memasukkannya ke dalam tudung dan disumbat ke telinga. Without You berlagu lagi. Empangan air mata Maryam akhirnya pecah.

Cos I would see
The man I know I used to be
How I was lost before You reached for me
No I don't know
Where I would go
What I would do

Without You
Without You
Without You

‘Ya Allah, aku pernah hilang arah. Aku pernah hilang punca. Kerana saat itu aku tidak mengenalMu. Ya Allah, peliharalah hatiku. Jangan Kau biarkan aku sendiri. Siapalah aku tanpaMu ya Allah...’

Like a heart between beats
I would feel nothing You see
If you took Your love from me
I don't know what more would life mean?

‘Ya Allah, pandanglah diriku ini. Jangan Kau palingkan diriMu dariku. Pandanglah aku dengan pandangan rahmatMu. Pandanglah aku dengan pandangan kasih sayangMu...’

So You might see
Just what Your love has meant to me
And what the cost of losing You would be
No I don't know
Where I would go
What I would do

Without You
Without You
Without You

Air mata Maryam terus mengalir laju. Dia memeluk erat buku yang dihadiahkan oleh Balqis.

'Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Hati kecilnya membisikkan terjemahan surah Az-Zumar ayat 53 yang pernah diucapkan Balqis kepadanya suatu tika dulu. Bila hati berbisik, ia hanya mendambakan cinta dan kasihnya pada Ilahi...




Sila tekan PAUSE pada music player di sidebar terlebih dahulu


______________________
* Harun Yahya
** S
ami Yusuf